JOHOR BAHRU - Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan melaksanakan kaedah pentadbiran baharu seiring perubahan landskap politik dan pengurusan kerajaan negeri kini.

Datuk Bandar MBJB, Amran A Rahman berkata, perkara itu juga disesuaikan bagi lantikan baharu 11 ahli majlis yang telah mengangkat sumpah dan ikrar untuk menjalankan tanggungjawab tersebut.

Menurutnya, jawatan ketua whip yang digunakan dalam mesyuarakat majlis bandaraya sebelum ini juga akan dimansuh mengikut arahan kerajaan selain memperkenalkan jawatan baharu yang diwakilkan seorang ketua daripada kumpulan ahli majlis lantikan parti politik masing-masing.

"Kali ini, lantikan kita ada tiga ahli majlis DAP, tiga ahli majlis Amanah, tiga ahli majlis Bersatu dan dua ahli majlis daripada PKR. Untuk jawatan ketua whip kita maklum setakat ini memang tiada.

"Jadi dalam kalangan parti itu akan ada ketua mereka, kita panggil Whip Party. Ini kaedah baharu, jadi kalau ada apa-apa saya difahamkan empat ketua itu akan bersama lah.

"Untuk pemilihan, parti sendiri yang tentukan siapa akan menjadi ketua.

"Jadi kita harapkan sesuatu yang lebih baik seperti kerajaan mahukan.

"Kita harap mereka ini dapat menunjukkan persefahaman dan kemuafakatan dalam masa sama MBJB juga akan memberikan kerjasama terbaik kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadir Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis MBJB bagi tempoh 15 Julai 2018 hingga 31 Disember 2019 di Dewan Inai Merah, Bangunan MBJB di sini, hari ini.

Amran berkata, berikutan dengan kekurangan jumlah diperlukan untuk jumlah penuh ahli majlis MBJB, kemungkinan setiap daripada 11 ahli majlis dilantik akan memegang dua zon setiap seorang untuk sementara waktu.

"Berhubung dengan pembahagian zon, kita akan cuba menyusun dulu mengikut perwakilan yang ada, kita ada 24 zon jadi mungkin mana-mana ahli majlis akan mengambil tugas menjaga dua zon sementara sehingga ada lantikan lain selepas ini.

"Sekiranya ada masalah rakyat boleh salurkan terus kepada kita, kita ada pelbagai sistem termasuk aduan dalam talian. Kita juga ada wakil rakyat dan mereka juga mempunyai saluran untuk aduan diajukan, jadi tiada masalah sebenarnya putus saluran untuk mengadu," katanya.

Pada masa sama, katanya, pelantikan ahli majlis itu juga membantu MBJB untuk menyelesaikan sebarang perkara atau perbincangan yang telah tertangguh sejak beberapa bulan lalu.

"Mulai minggu depan kita akan memulakan semua mesyuarat jawatankuasa yang tertangguh, kita juga akan susun jadual untuk laksanakan mesyuarat jawatankuasa yang tidak dapat dilakukan sebelum ini.

"Bila ada ahli majlis baru dan telah mengangkat sumpah, mereka kini layak untuk menduduki sebarang jawatankuasa yang ada.

"Untuk itu kita ada lapan jawatankuasa, antaranya kewangan dan perlesesanan. Semua ini penting untuk memastikan kelancaran dalam usaha kita meluluskan serta membuat sebarang dasar atau peraturan," katanya.

Terdahulu, MBJB selaku antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam negara yang terawal melakukan lantikan tersebut bersikap optimis dan yakin dengan keputusan pemilihan calon yang telah dilakukan kerajaan.