• Khaled Nordin Khaled Nordin
1 /

JOHOR BHARU - Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yakin tidak akan ada anak-anak negeri itu yang tercicir daripada pendidikan.    

Beliau berkata ini adalah kerana penaiktarafan kemudahan-kemudahan sekolah akan berterusan selain usaha dan komitmen para guru di negeri ini untuk menghasilkan modal insan cemerlang.
    
Mohamed Khaled berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi dan Pelancaran Buku Berjudul 'Maktab Sultan Abu Bakar: Sejarah dan Biografi 100 Tokoh Melakar Kegemilangan' di sini hari ini.
    
Johor akan terus menekankan kepentingan pendidikan kerana bidang pendidikan adalah instrumen penting atau platform kepada kejayaan yang bakal dicapai oleh seseorang dalam perjalanan hidup masing-masing, katanya.
    
Mohamed Khaled yang ditemui selepas majlis itu berkata, langkah-langkah untuk memperkasakan bidang pendidikan di negeri itu hanya akan diumumkan dalam masa terdekat.
    
Sementara itu, beliau yang juga bekas pelajar Maktab Sultan Abu Bakar atau  dikenali sebagai English College dari 1972 sehingga 1977, berkata pengalaman manis ketika belajar di situ ialah dapat bergaul dengan pelajar-pelajar lain daripada pelbagai kaum.
    
Sekolah tertua di Johor Baharu itu melahirkan banyak tokoh seperti Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Profesor Diraja Ungku Aziz, bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Allahyarham Tan Sri Taib Andak, Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn dan pencipta bendera Malaysia, Mohamed Hamzah. - Bernama