KLUANG - Selepas penutupan operasi sebuah kilang mozek di Taman Saujana di sini, bulan lalu, sebuah lagi kilang mozek di Jalan Renggam-Kluang di sini, bertindak memberhentikan pekerja mereka.

Kelmarin, seramai 174 pekerja kilang tersebut terpaksa akur dengan kehendak pengurusan dan hilang punca pendapatan apabila perkhidmatan mereka ditamatkan secara mengejut berkuatkuasa, kelmarin.

Seorang pekerja yang ingin dikenali sebagai Ramli, 47, berkata, sebaik sampai ke tempat kerja kira-kira jam 7.30 pagi, kelmarin, dia bersama beberapa pekerja yang lain tidak dibenarkan melakukan kerja sebelum diminta berkumpul di kawasan kilang.

“Saya ingat ada taklimat pengurusan kilang, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila kami diberikan surat penamatan perkhidmatan secara tiba-tiba dan keadaan itu memang mengejutkan.

“Kebiasaannya, pihak majikan perlu beri kami notis sekurang-kurangnya tiga bulan bagi membolehkan kami membuat persediaan untuk mencari pekerjaan lain dan bukannya secara mengejut seperti ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, walaupun dia sedar tindakan pemberhentian itu adalah untuk mengecilkan kos operasi kilang, mereka berhak untuk dimaklumkan dengan lebih awal agar mereka lebih bersedia.

Katanya, ada di antara pekerja yang diberhentikan sudah berkhidmat di kilang tersebut melebihi 10 tahun, selain terpaksa bergelut dengan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Walaupun semua pekerja yang diberhentikan ini nanti akan diberikan pampasan serta bayaran ganti notis namun, ianya pasti akan memakan masa antara tiga hingga empat bulan sebelum dilunaskan.

“Dalam tempoh itu, apa nasib kami untuk terus kehidupan keluarga apatah lagi sekarang sudah bulan Oktober dan tidak lama lagi terpaksa berdepan dengan persiapan anak-anak untuk sesi persekolahan baru tahun hadapan,” katanya.

Menurutnya, hampir keseluruhan 174 pekerja diberhentikan itu juga mempunyai keluarga masing-masing dan ada di antara mereka adalah pasangan suami isteri yang bekerja lebih daripada 10 tahun.

Sementara itu, Pengurus Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kluang, Suzaimie Abdul Aziz ketika dihubungi berkata, pihaknya dimaklumkan berkaitan pemberhentian tersebut dan bersedia membantu semua pekerja melalui Skim Insurans Pekerjaan (SIP).

“Proses permohonan akan dilakukan secepat mungkin dan mereka terlibat boleh datang terus ke Pejabat Perkeso Kluang bagi dapatkan penerangan dan isi borang.

“Bayaran bantuan sebanyak RM600 selama tiga bulan akan dilakukan secepat mungkin bagi mengelak mereka terbeban dengan kos sara hidup, selain berusaha membantu mencarikan pekerjaan melalui program pencarian kerja yang Perkeso,” katanya.