PENGERANG - Saudi Aramco komited membantu meningkatkan ekonomi di kawasan Pengerang melalui pelaburan di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC). 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Aramco, Amin H Nasser berkata, pihaknya komited memberi kesejahteraan kepada rakyat Johor.

Berikutan itu katanya, beliau menyasarkan lebih banyak kerjasama dengan Petronas pada masa akan datang.

“Malaysia menyediakan peluang terhebat kepada Aramco untuk pengembangan portfolio industri hiliran di Asia dan lokasi strategik PRefChem di Pengerang akan meletakkan negara sebagai sebagai hub tenaga prolifik di rantau ini,” katanya ketika hadir Majlis Pengumuman Logo Identiti Usaha sama Petronas Dengan Saudi Aramco iaitu PRefChem di PIC, semalam.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Hiliran Petronas, Datuk Md Ariff Mahmood.

Terdahulu, Saudi Aramco yang mengumumkan untuk melabur sebanyak US$7 bilion dalam projek Pembangunan Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid), salah satu komponen PIC menyifatkan majlis pelancaran logo itu adalah selaras dengan strategi pihaknya dan Petronas untuk melabur dalam penapisan minyak global.

Dalam pada itu, Petronas dalam kenyataan media selepas majlis itu berkata, projek pembinaan kemudahan petrokimia di PIC mencapai tahap kemajuan sebanyak 84.8 peratus setakat April lalu.

Sementara itu pembinaan kompleks loji penapisan minyak dan perekah pula mencapai kemajuan 96.54 peratus setakat ini.

Selain kemudahan petrokimia, perekah dan penapisan, projek PIC juga merangkumi pembangunan kemudahan bersepadu seperti loji bekalan air mentah, terminal air dalam, terminal Regasifikasi LNG dan lain-lain.

Kompleks penapisan minyak PIC mempunyai kapasiti untuk menapis sebanyak 300,000 tong minyak sehari dan akan menghasilkan pelbagai produk petroleum seperti minyak gasolin untuk motosikal, diesel, minyak jet sulfur rendah yang menepati spesifikasi minyak Euro 5.

Projek PIC ini dijangkakan memulakan operasi pada suku pertama tahun depan.