SEGAMAT - Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) kesal dengan tindakan pihak Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) yang membenarkan pelajar dijadikan alat politik.

Terkini, arahan surat yang tular di media sosial iaitu ‘Mohon Pelepasan Murid Bagi Penglibatan Dalam Majlis Perasmian Himpunan Jentera Pemuda dan Puteri Umno BN’ di Pagoh, baru-baru ini bukti arahan politik yang mencampuradukkan politik kepartian sempit dengan pendidikan anak bangsa.

Presidennya, Normala Sudirman berkata, alasan biasa digunakan untuk ‘menghalalkan’ semua ini berlaku dan guru tidak dibenarkan berpolitik seperti yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan jelas hanyalah retorik semata-mata.

“Dalam hal ini, memang agak mengejutkan apabila pelajar sendiri diarah hadir untuk menjayakan program parti sedangkan ramai lagi ahli Puteri dan Pemuda Umno yang bukan terdiri daripada pelajar sekolah boleh dipanggil untuk menjayakan program ini.

“Manakala di Muar pula, pelajar tingkatan empat dan lima pula diarahkan hadir ke program tersebut untuk menjayakan program politik Umno BN dan buktinya, para pelajar diarahkan memakai baju berwarna biru sebagaimana dalam surat arahan yang tular ini,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, walaupun terdapat khabar angin surat arahan agar pelajar dan guru menghadiri program parti politik itu ditarik balik setelah mendapat bantahan dan tular, Pendidik berharap kejadian seperti ini dihentikan sama sekali dan jangan berulang kembali.

Katanya, dalam masa terdekat juga, Pendidik akan mengunjungi Kementerian Pendidikan dan JPNJ untuk menghantar memorandum bantahan selain mendapat penjelasan lanjut berkaitan kes ini.

Pada masa sama, kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang menempelak sikap guru yang menyokong Pakatan Harapan (Harapan), tetapi dalam masa sama mahukan jawatan guru besar tidak sepatutnya menjadi isu.