JOHOR BAHRU - Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) akan mengurangkan perbelanjaan sehingga 50 peratus pada musim hadapan termasuk menjual pemainnya sebagai langkah untuk menampung semula dana yang telah digunakan dalam pembentukan pasukan sejak 2013 lalu.

Penaung Dirajanya, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, terdapat beberapa kelab dari dalam dan luar negara menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmat pemainnya dan jika tawaran tersebut menguntungkan beliau akan mengambil serius perkara tersebut.

“Tahun 2017 akan menjadi tahun pemulihan bagi kelab kami kerana untuk digunakan bagi menampung perbelanjaan stadium dan pusat latihan baharu setelah membelanjakan wang yang banyak pada tahun 2013 dan 2016 lalu.

“Kita perlu mengekalkan kestabilan kewangan kelab ini kerana saya tidak mahu ada isu mengenai JDT tidak mampu bayar pemain atau kakitangannya,” katanya pada sidang media di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin, semalam.

Dalam pada itu, teka-teki berkenaan penghijrahan perancang sensasi Selangor, Nazmi Faiz Mansor ke kelab tersebut akhirnya terjawab apabila berita itu disahkan sendiri oleh beliau pada sidang media tersebut.

Menurut Tunku Ismail, tonggak utama The Red Giants berusia 22 tahun itu telah pun menandatangani perjanjian  bersama JDT sejurus selepas tamat kontrak bersama naib juara piala Malaysia itu, baru-baru ini.

“Pasukan telah mencapai persetujuan bersama pemain tersebut, buat masa ini hanya Nazmi seorang sahaja yang disahkan akan berhijrah ke sini.

“Tetapi, untuk musim akan datang beliau akan terus dipinjamkan ke sebuah kelab di Jepun untuk bermain satu musim di sana bagi mencari pengalaman sebelum mula berkhidmat kepada pasukan setibanya pulang ke negara.

“Berkenaan spekulasi penyerang Selangor Hazwan Bakri pula, pihak kami masih belum ada sebarang perundingan rasmi daripada kelab dengan pasukan Selangor,” katanya.

Menurut Tunku Ismail lagi, selain daripada pemain tersebut dua pemain muda daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga bakal menyarung jersi Harimau Selatan manakala dua pemain JDT II akan diserapkan ke skuad utama.

“Selain Nazmi, pasukan turut akan menampilkan dua muka baharu iaitu pemain JDT II, Muhammad Afiq Fazail, 22, dan Che Rashid Che Halim, 22, bersama dua lagi pemain muda dari PDRM yang masih di dalam perundingan.

“Berkenaan pemain JDT II kami tidak berapa memikirnya sangat kerana pasukan mempunyai kelebihan berbanding pasukan lain untuk menukar mana-mana pemain tanpa menunggu jendela perpindahan meskipun musim sedang berlangsung,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa JDT juga sedia melepaskan import terbaiknya Juan Martin Lucero dan Jorge Pareyra Diaz jika kedua pemain tersebut ditawarkan harga yang lumayan.

“Kita akan meneliti semua tawaran yang bagus dan melaksanakan sebarang tindakan untuk mengimbangi bajet pasukan, sini bukan penjara setiap pemain berhak untuk memilih untuk siapa mereka akan bermain.

“Saya juga difahamkan seramai lebih 10 pemain ada menerima tawaran untuk bermain di kelab lain memandangkan pada musim depan banyak kelab akan berbelanja besar untuk saingan musim hadapan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau akan menyerahkan kepada Mario Gomez untuk menentukan siapa yang akan bermain atau terus bersama kelab kerana semuanya bergantung kepada kesesuaian corak permainan yang diterapkan jurulatih berkenaan.