BATU PAHAT – Datuk Onn Jaafar, merupakan individu yang bertanggungjawab menyatupadukan orang Melayu dan kini, segala jasa serta pengorbanannya terus diingati, sehingga lahir sebuah galeri untuk mengenang segala perjuangannya sebelum ini.

Galeri berkenaan yang terletak di Batu Pahat merupakan satu penghormatan dari seluruh warga Johor serta orang Melayu seluruh negara, didirikan di tapak rumahnya ketika beliau menjawat jawatan Pegawai Daerah Batu Pahat.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Asiah Md Arif berkata, dengan tertubuhnya Galeri Dato Onn ini, ia sebagai satu penghormatan kepada perjuangan beliau.

Katanya, dengan kos sebanyak RM600,000 idea dan kerja untuk membina galeri ini bermula semenjak tahun 2007 lagi dengan usaha sama kerajaan negeri dan Yayasan Warisan Johor (YWJ) serta siap sepenuhnya pada 2011.

“Istimewanya rumah ini sehingga dijadikan sebuah galeri ialah di sinilah Datuk Onn menyatupadukan beberapa pemimpin Melayu bermula dengan Pergerakan Melayu Semenanjung Johor (PMSJ).

“Kemudiannya beliau berjaya mengumpulkan pemimpin Melayu seluruh negara sehingga tertubuhnya Umno pada 11 Mei 1946, yang bertujuan untuk menentang gagasan Malayan Union dan kemudiannya memerdekakan negara ini.

“Umno yang ketika itu dikenali sebagai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar) dianggap sebuah pertubuhan yang sangat ganjil dan mempunyai masa depan yang begitu baik oleh pihak British sehingga mereka membubarkan Malayan Union,” katanya.

Beliau berkata sedemikian semasa merasmikan Galeri Dato Onn, kelmarin yang turut dihadiri oleh Pengarah YWJ, Muhamad Fuad Radzuan, Wakil Ahli Parlimen Batu Pahat, Ja’affar Hashim, Pegawai Daerah Batu Pahat Ab
Wahab Ridwan dan tetamu istimewa iaitu anak beliau, Datuk Jaafar Onn.

Menurut Asiah lagi, dengan penubuhan galeri berkenaan ia juga sebagai salah satu tempat yang perlu dikunjungi apabila berkunjung ke Batu Pahat, kerana memuatkan sejarah penubuhan negara.

“Pelajar di bangku sekolah atau di peringkat institut pengajian tinggi (IPT) boleh menjadikan galeri ini sebagai tempat rujukan mereka.

“Di galeri ini termuat beberapa barangan peribadi milik Datuk Onn selain beberapa dokumen yang dianggap penting dan boleh dijadikan sumber rujukan oleh pelbagai pihak,”  katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.