JOHOR BAHRU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Daerah Maritim 7 Tanjung Sedili menahan dua buah kapal dagang di kedudukan lebih kurang tiga batu nautika dari Selatan Tanjung Penyusop (Teluk Ramunia) semasa melakukan operasi Ops Perkasa Selatan di perairan Johor, baru-baru ini.

Pengarah Maritim Daerah Tanjung Sedili, Kapten Maritim Amran Daud berkata, kapal MT ORCA dan MT BRAMA OCEAN ditahan ketika kapal tersebut sedang berhimpit antara satu sama lain, kira-kira 7.30 petang.

“Kedua-dua kapal itu dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh bot Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan dan penguatkuasaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, kelmarin.

Katanya, ketika pemeriksaan dilakukan Kapal MT ORCA yang berdaftar di Fiji itu gagal mengemukakan insurans dan boleh didakwa dibawah seksyen 361(6) Akta A1393 2011 Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 .

 “Manakala kapal MT BRAMA OCEAN yang berdaftar di Malabo pula telah melakukan kesalahan bersauh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut dan gagal memaklumkan ketibaan diperairan Malaysia,”katanya.