KOTA TINGGI - “Doa mama untuk bertemu saya selama ini dimakbulkan,” kata Rosham Azua Mohd Roslan, 24, pemuda dari Kelantan yang nekad menjejaki ibu kandungnya yang beralamat di daerah ini.

Rosham Azua sebelum ini menggunakan platform media sosial Facebook meminta bantuan orang ramai mengesan ibunya yang tidak pernah ditemui sejak lahir.

Menurutnya, antara reaksi pertama ibunya ketika mereka berjumpa tentunya sedih dan seolah-olah tidak percaya dapat bertemu anaknya.

“Mama memaklumkan dia tidak pernah berhenti berdoa agar satu hari nanti ALLAH pertemukan kami.

“Mama tidak dapat mencari saya kerana ada alasan sendiri yang menghalangnya. Jadi apa yang mampu dia lakukan hanyalah berdoa dan akhirnya dimakbulkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, usahanya mengesan ibunya itu menjadi kenyataan hasil maklumat dari jiran ibu di Felda Air Tawar 2 yang melihat Facebook berkenaan pencariannya.

Dia yang datang dari Kelantan ke Johor kemudian dimaklumkan ibunya kini tinggal di Terengganu sebelum berusaha ke negeri di Pantai Timur itu untuk menjejaki ibunya.

“Alhamdulillah perjalanan saya dari Johor ke Terengganu semuanya berjalan dengan lancar tiada apa masalah. Mama sekarang duduk di Terengganu selepas berkahwin dengan orang sini.

“Saya gembira akhirnya dapat melihat wajah ibu kandung sendiri. Ini semua disebabkan pertolongan dari mereka yang menyalurkan maklumat di Facebook. Terima kasih kepada mereka semua yang membantu usaha saya mencari ibu,” katanya.

Terdahulu, kisah pencarian pemuda itu turut disiarkan di Sinar Harian.