KOTA TINGGI - Isu bas henti-henti yang uzur membawa penumpang dari Tanjung Sedili ke bandar Kota Tinggi telah lama dibangkitkan dalam sidang Dun.

Adun Sedili, Rasman Ithnain berkata, bagaimanapun isu berkenaan mendapat respons yang hambar apabila sehingga kini tiada tindakan untuk menggantikan perkhidmatan bas baharu.

Menurutnya, apa diperjuangkan adalah untuk keselamatan penumpang bas yang merupakan penduduk di Dun tersebut dan masih menggunakan bas sebagai pengangkutan utama mereka.

“Pasal bas ini saya sudah lama dan banyak kali bawa dalam Dewan Negeri berkali-kali. Bahkan kerajaan terdahulu sudah bersetuju untuk menggantikan dengan bas Mara namun sehingga kini penduduk masih menggunakan khidmat bas lama yang sudah uzur.

“Saya juga sebelum ini pernah cadang pada kerajaan negeri agar letakkan bas muafakat Johor namun atas faktor tidak datangkan keuntungan maka ia tidak dilakukan,” katanya.

Terdahulu, Rasman mengulas kejadian kemalangan bas henti-henti yang membawa penumpang di Jalan Sedili ke Kota Tinggi semalam yang tular di laman Facebook.

Difahamkan, empat penumpang terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Rasman berkata, penduduk di Tanjung Sedili yang terdiri daripada penduduk kampung tradisional masih menggunakan bas henti-henti itu sebagai pengangkutan utama untuk ke bandar.

Katanya, kebanyakan penduduk tidak mempunyai kenderaan sendiri dan menaiki bas bagi membeli keperluan, berurusan dengan pihak bank dan sebagainya.

“Bila dan berlaku kemalangan macam ini baru orang nak cari kesalahan dan barulah nampak bas ini sudah uzur. Sebaliknya saya sudah bawa perkara ini bertahun-tahun lamanya,” katanya.