BATU PAHAT – [DIKEMASKINI] Banjir melanda Kampung Sungai Ayam dan Sungai Suloh di Senggarang di sini paling teruk apabila ramai mangsa tidak sempat selamatkan harta benda.

Walaupun dua lokasi ini kawasan tumpuan setiap tiba musim hujan, tetapi rata-rata penduduk tidak menyangka kali ini berlaku dengan pantas berikutan limpahan air kebiasaannya hanya menjejaskan halaman rumah terlebih sebelum memasuki ruang kediaman.

Mangsa banjir, Abdul Halim Mat Jusoh, 47, mengakui banjir kali ini turut memusnahkan dua kenderaan miliknya dan anak saudara.

“Air banjir naik begitu pantas sampai kami sekeluarga tak sempat nak alih harta benda penting termasuk dua kenderaan yang musnah ditenggelami air.

“Dalam rumah pula jangan cakap. Kawasan ruang tamu yang berada di bahagian atas pun dinaiki air sehingga paras buku lali. Bahagian dapur di bawah pula boleh mencecah sampai paras leher,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan banjir.

Menurutnya, kejadian banjir kali ini paling buruk berbanding sebelumnya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Abdul Hamid Othman, 57, turut menceritakan dia sekeluarga cuba menyelamatkan diri apabila menyedari air mula naik.

Ujarnya, dia sempat melihat kediamannya yang semakin tenggelam dan mendapati air di halaman rumah juga sudah mencecah sehingga ke paras leher.

“Masa keluar selamatkan diri, arus air memang mengalir deras. Rumah saya tenggelam dan hanya nampak atap sahaja. Barangan dalam rumah pula tak sempat diselamatkan termasuk mesin basuh, peti ais dan beberapa peralatan lain.

“Memang banjir kali ini paling teruk, namun bersyukur tiada kejadian tidak diingini berlaku. Sehingga sekarang saya belum pulang tengok keadaan rumah kerana terlalu penat tapi anak-anak sudah mula membersihkannya,” ujarnya.

Kelmarin, seramai 105 penduduk daripada 42 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Sungai Suloh selepas dua kampung terjejas akibat banjir.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Kolonel Mat Zin Bujang berkata, antara agensi terlibat memindahkan penduduk-penduduk terjejas ialah pejabat daerah, Angkatan Pertahanan Awam, polis, bomba dan penyelamat serta Rela.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon turut membuat lawatan meninjau keadaan mangsa di pusat pemindahan terbabit.

Katanya, bantuan sewajarnya akan disalurkan dan ketika ini pihaknya memutuskan untuk menyumbang mesin pam air bagi kegunaan mangsa mencuci rumah yang berlumpur.

"Untuk bantuan awal, kita turut beri 150 bungkusan makanan sebagai tambahan daripada apa yang diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Sekiranya berlarutan, kita bercadang untuk agih selimut kepada pada mangsa.

"Dalam pada itu, kita menyeru mangsa untuk membuat laporan polis bagi memudahkan bantuan di peringkat parlimen untuk membantu membaik pulih kediaman mangsa," katanya.

Beliau turut menasihatkan kesemua mangsa untuk menjaga kesihatan khususnya kanak-kanak dengan mencegah mereka daripada mandi atau berkubang dengan banjir bagi mengelakkan daripada dijangkiti kencing tikus.