JOHOR BAHRU - Keadaan banjir di Johor pada pagi ini semakin memburuk dengan 1,395 mangsa daripada 376 keluarga dilaporkan berada di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) di kesemua tiga daerah yang terjejas berbanding hanya 1,245 orang pada malam tadi.

Pengerusi Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri Datuk Ayub Rahmat berkata 103 mangsa daripada 22 keluarga ditempatkan di empat PPS di Segamat; 1,261 mangsa daripada 347 di lapan PPS di Mersing dan 31 mangsa daripada tujuh keluarga di sebuah PPS di Kota Tinggi.

Kesemua mangsa di Segamat merupakan penduduk dari Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Pogoh Tengah dan Kampung Tekam.

Di Mersing pula, mangsa adalah penduduk Kampung Tenglu Besar, Kampung Air Papan, Kampung Baru Jemari, Kampung Sungai Muka Dua, Kampung Orang Asli Labong, Kampung Air Merah manakala di Kota Tinggi (Kampung Perepat).

Beliau berkata sebuah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Punan di Kluang turut ditutup ekoran terputus hubungan akibat bencana itu.

“Selain itu, SK Ladang Mutiara dan SK Seri Sedohok dalam daerah sama (Kluang) turut terputus hubungan, namun masih beroperasi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ayub berkata  Jalan Telok Arung di Mersing masih ditutup sepenuhnya akibat runtuhan cerun dan orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Tanjung Resang-Jalan Mersing atau Endau-Jalan Air Papan.

Laluan ke Kampung Batu 7 di Jementah, Segamat turut terputus hubungan akibat dinaiki air dan pemantauan sedang dilakukan oleh agensi berkaitan dan pejabat daerah. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KLUANG - Sesi persekolahan Sekolah Kebangsaan (SK) Punan, dekat sini yang terganggu disebabkan banjir yang berlaku di kawasan itu sejak 11 Januari lalu dibuka semula, hari ini.
  • SEGAMAT - Kerajaan negeri berpuashati terhadap penglibatan agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam pengurusan bencana banjir yang melanda beberapa daerah di negeri ini.
  • KLUANG - Sekolah Kebangsaan (SK) Punan, dekat sini ditutup semula bermula hari ini berikutan laluan utama memasuki ke sekolah berkenaan dinaiki air sejak petang Khamis lalu.
  • JOHOR BAHRU - Jumlah mangsa banjir di Segamat dan Mersing meningkat kepada 1,094 mangsa daripada 299 keluarga yang ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di dua daerah berkenaan, setakt jam 2 petang tadi.