JOHOR BAHRU - Adun Senggarang, Khairuddin A Rahim serius memperjuangkan isu alam sekitar di negeri ini.

Menurutnya, ini termasuklah isu pencemaran sungai yang menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) terpaksa mengadakan operasi berkali ganda sehingga meningkat kos rawatan dan gangguan air yang membabitkan kawasan pembekalan LRA.

"Selain itu pihak kami mengenal pasti terdapat pelbagai masalah yang berlaku di negeri ini berkenaan dengan pencemaran alam sekitar seperti baru-baru berlakunya penemuan terbaru berkenaan dengan perlombongan Bauksit di Minyak Beku.

"Maka, pihak kami akan membuka semula isu-isu pencemaran yang berlaku sebelum ini di bawah pemerintahan BN yang bertangguh seperti isu Bukit Payong, Sungai Sayong dan juga Sungai Ayer Hitam," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Khairuddin yang juga Setiausaha Amanah negeri berkata, oleh itu, pihak kami akan berusaha untuk menyelesaikan permasalahan yang berbangkit serta akan mendengar dan menerima sebarang permasalahan berkenaan dengan alam sekitar di negeri ini.

"Matlamat untuk mensejahterakan rakyat adalah suatu kewajipan bagi pihak kami dan ia menjadi amanah yang harus dipikul oleh wakil rakyat," katanya.