SEGAMAT - Seramai 32 kakitangan dari Jabatan Hutan seluruh Johor telah menyertai Ekspedisi Gunung Bekok selama empat hari, baru-baru ini.

Ketua ekspedisi, Shohaimi Mohd Sani berkata, ekspedisi itu bertujuan untuk mengumpul maklumat selain menjalankan kajian terhadap flora dan fauna yang terdapat di kawasan tersebut.

Menurutnya, daripada 32 peserta yang mengikuti ekspedisi itu, hanya 13 orang yang memulakan pendakian dari tapak perkhemahan dan pertengahan sehingga ke puncak Gunung  Bekok.

“Semua peserta dibahagikan kepada lapan kumpulan untuk menjalankan kajian mengenai tumbuhan orkid, pokok nadir, ikan, serangga, herba, palma dan spesies burung.

“Setelah semua maklumat berkaitan flora dan fauna dicatatkan, pihak kami akan cuba menggunakan semua laporan itu sebagai panduan awal untuk memajukan kawasan ini.

“Dalam pencarian itu pihak kita juga menemukan spesies tumbuhan dari kumpulan terancam seperti pokok redan yang mana buahnya boleh dimakan tidak kurang juga spesies serangga yang tidak diketahui nama serta jarang dilihat,” katanya.

Katanya, bagi memastikan penemuan itu memberi manfaat, mereka telah menyimpan gambar dan maklumat tentangnya untuk dirujuk oleh pihak pakar bagi memastikan maklumat yang lebih tepat diperoleh dalam kajian pihaknya nanti.

Dalam pada itu katanya, melalui kajian flora dan fauna itu juga akan menjadikan Hutan Lipur Sungai Bantang, Bekok sebagai tumpuan para penggemar alam semula jadi untuk membuat kajian saintifik di masa hadapan.

“Hutan ini sememangnya mempunyai satu pakej langkap dengan kehijauan alam, sungai yang jernih, mempunyai gunung, hutan tebal dan haiwan unik daripada pelbagai spesies untuk dilihat secara dekat.

“Hutan Lipur Sungai Bantang Bekok ini mempunyai keluasan 400 hektar dan ketinggian Gunung Bekok 950 meter dari aras laut dan 13 peserta yang mendaki telah mengambil masa anggaran sembilan jam bagi hari pertama sebelum meneruskannya pada hari kedua dan ketiga,” katanya.