KUALA LUMPUR -   Syarikat Malaysia membuktikan kewibawaan  mereka dan muncul dalam radar pelabur antarabangsa apabila berjaya membuat beberapa pengambilalihan merentas sempadan baru-baru ini.
   
Laporan Wall Street Journal baru-baru ini menyebut beberapa syarikat besar, 
yang bukan sekadar besar dalam negara, berjaya melakukan janji niaga antarabangsa dalam bidang masing-masing.
   
Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Genting Bhd, Felda Global Ventures 
Holdings Bhd, Sime Darby, SP Setia, Malayan Banking Bhd (Maybank), adalah antara beberapa nama yang sebut dalam laporan itu.
   
Mengulas artikel berkenaan, Naib Presiden Kanan dan Ketua MIDF Research 
Zulkifli Hamzah berkata prestasi kebanyakan syarikat Malaysia terus kukuh selepas krisis kewangan 2007. 
   
"Apabila ringgit mengukuh, ia membolehkan banyak syarikat membuat tawaran 
merentas sempadan. Oleh itu, ada kemungkinan lebih banyak urus janji pengambilalihan dan penggabungan (M&A) yang besar akan dilakukan pada masa akan datang," katanya kepada Bernama di sini.
   
Beliau berkata M&A merupakan amalan berterusan dunia korporat, dan oleh itu 
sukar untuk membuat jangkaan mengenainya memandangkan kebanyakan M&A dirahsiakan sehingga ia diumumkan.
   
Zulkifli berkata, pengambilalihan tidak sahaja dibiayai secara tunai atau 
pinjaman, malah ia boleh dalam bentuk pembiayaan nmenerusi terbitan saham baru.
   
"Oleh itu, selagi nilai modal syarikat terus berkembang atau 
sekurang-kurangnya dikekalkan, insentif untuk mengambil alih adalah tinggi.

Dalam hubungan ini, hakikat bahawa FTSE Bursa Malaysia KLCI terus mencatat paras tinggi baharu sejak kebelakangan ini, merupakan petunjuk penting yang membolehkan aktiviti M&A dilakukan oleh syarikat Malaysia," katanya.
   
Ditanya mengenai bagaimana syarikat Malaysia mengurus budaya korporat yang 
berbeza ketika penyatuan selepas M&A, beliau berkara banyak syarikat yang mengambill alih mengekalkan pengurusan syarikat sedia ada.
   
Ini memastikan mana-mana pengambilalihan tidak menjejaskan operasi harian, 
katanya.
   
"Budaya berbeza tidak dapat dielak. Cabarannya ialah mengurus perbezaan itu 
supaya tidak menjejaskan operasi dan manfaat sinergi M&A, dapat direalisasikan," kata Zulkifli.
   
Sementara itu, Naib Presiden dan Ketua Runcit Affin Investment Bank Dr Nazri 
Khan berkata, pembabitkan aktif syarikat-syarikat Malaysia dalam M&A disebabkan perniagaan antarabangsa yang perlahan akibat krisis hutang Eropah.
   
"Syarikat tempatan mempunyai pengalaman beroperasi dalam perniagaan global 
yang penuh saingan. Seperti Kumpulan CIMB dan Sime Darby, mereka mempunyai hubungan dan rangkaian luas perniagaan di luar," katanya.
   
Sambil menolak dakwaan akhbar itu bahawa syarikat-syarikat Asia, terutama 
syarikat Malaysia sebagai defensif, beliau berkata kedudukan kewangan yang kukuh syarikat yang terlibat serta liberalisasi baik dalam negara, membolehkan mereka meneroka peluang di luar negara.
   
"Yang mereka tidak miliki ialah kapasiti dan kepakaran teknologi. Syarikat 
multinasional tempatan wajar menjalin usaha sama dengan syarikat asing memandangkan mereka boleh meneroka peluang sesama sendiri selain meningkatkan keupayaan di luar rantau ini," katanya.
   
Dalam artikel itu, Petronas, yang kini dalam proses mengambil alih Progress 
Energy Resources Corp Kanada, bernilai kira-kira ASS$5.8 bilion, muncul sebagai urus janji M&A kedua terbesar oleh syarikat Asia Tenggara dalam tahun 2011 dan 2012.
   
Bagi Maybank yang mengambil alih Kim Eng Holdings (Singapura) membabitkan  
AS$1.386 bilion pada Januari lepas, ia menduduki tempat ketujuh daripada 10 syarikat.
   
Satu lagi urus niaga menarik melibatkan Sime Darby Bhd yang bergabung dengan 
SP Setia untuk mengambil alih Battersea Power Station, salah sebuah daripada mercu tanda paling ikonik di London.
   
Laporan berita itu menyebut krisis hutang Eropah menjadikan aset lebih murah 
kepada firma-firm Asia Tenggara.
   
Ia juga berkata, selain memiliki mudah tunai yang besar, firma Asia Tenggara 
juga mengenal pasti kelebihan lain untuk meluaskan operasi di peringkat antarabangsa. - Bernama

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.