Google labur RM9.4 bilion di Malaysia, sokong lebih RM15.04 bilion dalam impak ekonomi positif

No Image Caption
A
A
A

[DIKEMAS KINI]SYARIKAT gergasi teknologi, Google akan melabur US$2 bilion (RM9.4 bilion) di Malaysia, merangkumi pembangunan pusat data pertama Google di Malaysia dan Wilayah Awan Google untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan awan, di peringkat tempatan mahupun global serta program literasi kecerdasan buatan (Al) untuk pelajar dan pendidik di negara ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan serta Ketua Pegawai Kewangan Alphabet dan Google, Ruth Porat berkata, pusat data pertama Google dan Wilayah Awan Google adalah pelaburan terbesar kumpulan yang dirancang setakat ini di Malaysia - lokasi yang Google dengan bangganya sudah bertempat selama 13 tahun.

"Pelaburan ini dibina atas kerjasama kami dengan kerajaan Malaysia untuk memajukan 'Dasar Cloud First,' termasuk piawaian keselamatan siber yang tertinggi.

"Dengan pengumuman hari ini, Malaysia dan Google bekerjasama untuk memajukan usaha bersama kami dalam mencipta ekosistem yang menyokong inovasi dan membuka potensi transformasi digital," katanya dalam kenyataan hari ini.

Alphabet ialah syarikat induk Google.

Menurut Google, pelaburannya dijangka menyokong lebih AS$3.2 bilion (RM15.04 bilion) dalam impak ekonomi yang positif dan mewujudkan 26,500 pekerjaan menjelang 2030.

Katanya pusat data itu akan memperkasakan perkhidmatan digital popularnya seperti Search, Maps dan Workspace, yang digunakan setiap hari oleh berbilion individu dan organisasi di seluruh dunia, termasuk Malaysia.

"Ia (pusat data itu) juga akan memainkan peranan penting dalam membolehkan Google menyampaikan manfaat Al kepada pengguna dan pelanggan di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

"Apabila beroperasi, Malaysia akan menyertai 11 negara lain yang mengendalikan pusat data untuk memberikan perkhidmatan kepada pengguna di seluruh dunia," katanya.

Mengenai Wilayah Awan Google, katanya ia akan menyediakan perkhidmatan berprestasi tinggi dan latensi rendah kepada perusahaan besar, syarikat pemula dan organisasi sektor awam.

Katanya pelanggan Google Cloud akan mendapat manfaat daripada kawalan utama yang membolehkan mereka mengekalkan piawaian keselamatan tertinggi, residensi data dan piawaian pematuhan, termasuk keperluan penyimpanan data khusus.

"Wilayah awan ini akan dilengkapi dengan lokasi Dedicated Cloud Interconnect sedia ada Google Cloud di Cyberjaya dan Kuala Lumpur, yang menyediakan sambungan langsung antara rangkaian di premis organisasi dan rangkaian global Google Cloud.

"Wilayah awan Malaysia akan menyertai 40 wilayah dan 121 zon yang sedang beroperasi di seluruh dunia," katanya.

Mengulas pengumuman tersebut, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pelaburan AS$2 bilion oleh Google di Malaysia akan memajukan lagi matlamat digital yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Beliau berkata, pusat data Google dan Wilayah Awan Google di Greater Kuala Lumpur, khususnya, akan memperkasakan industri pembuatan dan perkhidmatan negara dengan penggunaan AI dan teknologi canggih lain yang bakal meningkatkan kedudukan negara dalam rantaian nilai global.

"Kami yakin kerjasama dan pelaburan berterusan Google akan mempercepatkan transformasi digital negara kita, menyumbang kepada visi Madani ke arah Malaysia yang lebih makmur dan maju teknologi," katanya.

Pada November 2023, kerajaan dan Google memeterai kerjasama strategik untuk mencipta peluang pertumbuhan inklusif untuk lebih ramai rakyat Malaysia dan syarikat tempatan yang menggunakan teknologi Al dan awan.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata keputusan Google untuk menubuhkan pusat data pertamanya di Malaysia mencerminkan keyakinan mereka terhadap infrastruktur yang kukuh, tenaga kerja mahir dan iklim perniagaan yang menggalakkan.

"Pusat data ini bukan sahaja membawa perkhidmatan awan canggih, analitik data dan perkhidmatan AI Google lebih dekat kepada perniagaan tempatan, institusi pendidikan dan rakyat, ia juga akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab inovasi serantau, memperkasa pengguna dan pemain ekosistem untuk memanfaatkan teknologi terkini untuk pertumbuhan dan perkembangan mereka," katanya.

Sikh Shamsul Ibrahim berkata MIDA kekal komited untuk memudahkan pelaburan selanjutnya dan menyokong pertumbuhan berterusan Google di Malaysia. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!