PERSOALAN:

Sebuah syarikat entreprise menjalankan perniagaan di kawasan pinggir bandar.

Mempunyai kakitangan seramai 30 orang yang kebanyakannya terdiri dalam kalangan penduduk setempat yang rata-rata bergantung hidup dengan bekerja dalam industri kecil sederhana dan kerja-kerja kampung.

Operasi perniagaan sejak kebelakangan ini berjalan perlahan dan keuntungan yang diperoleh tidak seperti tahun-tahun sebelumnya.

Pemilik syarikat bercadang mengecilkan operasi termasuk mengurangkan bilangan pekerja sedia ada.

Persoalannya, dari sudut asas pentadbiran apakah yang harus dilihat agar situasi menang-menang tercapai.

 

JAWAPAN:

Ini adalah satu persoalan yang sukar untuk dijawab kerana ia melibatkan kehidupan orang-orang yang sudah lama bergantung dengan perniagaan yang terbabit.

Sudah tentu perkara pertama yang difikirkan ialah untuk mengurangkan kos tetap melalui pengurangan pekerja.

Jika pemilik ingin menjaga kebajikan seramai mungkin pekerja, langkah alternatif adalah:

 1. Berunding dengan kesemua pekerja untuk mengurangkan gaji mereka supaya kos dapat dikurangkan tetapi semua orang masih boleh bekerja.

 2. Kurangkan masa bekerja, jadi pekerja-pekerja yang ada boleh menggunakan masa yang diluangkan untuk mencari pendapatan sampingan. Dalam masa sama, kos berkaitan seperti elektrik, air dan bayaran         lebih masa boleh dikurangkan.

 3. Berbincang dengan pekerja untuk mencari idea-idea daripada mereka bagaimana perniagaan boleh dipulihkan semula. Dalam keadaan sebegini, pekerja mungkin boleh memberi cadangan yang tidak terfikir         oleh pemilik.

Bagaimanapun, pengurangan pekerja mungkin tidak dapat dielakkan jika perniagaan tidak dapat dipulihkan.

Jika ini terpaksa dibuat, kaedahnya perlu mematuhi undang-undang berkenaan kebajikan pekerja. Ini bagi mengelakkan perniagaan diambil tindakan oleh agensi kerajaan yang berkenaan dan akhirnya terpaksa membayar denda dan pampasan kepada pekerja.

Jumlah pampasan biasanya berkait dengan lama mana mereka sudah berkhidmat dengan perniagaan berkenaan.

Pemilik perniagaan sebaiknya juga boleh menolong untuk mencarikan pekerjaan bagi pekerja-pekerja yang terpaksa dilepaskan.

Kena ingat sumbangan mereka kepada perniagaan selama ini!



** Penulis adalah pengasas Inovastra Capital Sdn Bhd.