Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS, mata wang negara serantau

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang negara serantau ASEAN pada Khamis, apabila dolar AS kekal rendah ekoran kekurangan panduan jelas mengenai prospek kadar faedah AS.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.0780/0830 berbanding dolar AS daripada 4.0920/0965.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama, peserta pasaran tertumpu kepada kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) Kevin Warsh yang dibuat di Forum European Central Bank di Sintra, Portugal, semalam.

Beliau berkata, sesi panel pada forum itu menunjukkan Pengerusi Fed tidak bersedia untuk memberikan petunjuk, terutama mengenai hala tuju kadar faedah masa depan.

"Ini menunjukkan Fed kekal bergantung kepada data, dengan pasaran kini mengalihkan perhatian mereka kepada data ekonomi AS yang akan datang, khususnya laporan Penggajian Bukan Perladangan yang akan dikeluarkan hari ini.

"Anggaran konsensus menunjukkan ekonomi AS menambah 114,000 pekerjaan pada Jun, manakala kadar pengangguran dijangka kekal stabil pada 4.3 peratus,” katanya.

Pada akhir dagangan, ringgit rendah berbanding kebanyakan mata wang utama.

Ringgit turun berbanding pound British kepada 5.4401/4467 daripada 5.4203/4262 ketika ditutup pada Rabu, dan susut berbanding yen Jepun kepada 2.5295/5327 daripada 2.5144/5174.

Bagaimanapun, unit domestik tinggi berbanding euro kepada 4.6526/6583 daripada 4.6600/6651 semalam.

Artikel Berkaitan:

Ringgit lebih kukuh berbanding mata wang negara serantau ASEAN.

Mata wang tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1517/1558 daripada 3.1555/1589 ketika ditutup semalam dan naik berbanding baht Thailand kepada 12.2411/2613 daripada 12.2526/2708.

Ringgit lebih tinggi berbanding peso Filipina kepada 6.62/6.63 daripada 6.64/6.65 dan lebih stabil berbanding rupiah Indonesia kepada 226.6/226.9 daripada 227.9/228.3. - Bernama 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!