Ringgit dibuka tinggi, data pekerjaan AS redakan jangkaan kenaikan kadar faedah

RINGGIT dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat selepas data pekerjaan AS pada Jun yang lebih rendah daripada jangkaan, mengukuhkan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) mungkin mengambil pendekatan lebih berhati-hati terhadap penetapan kadar faedah.
Pada 8.04 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.0705/0805 berbanding dolar AS daripada 4.0780/0830 semasa ditutup pada Khamis.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, jumlah pekerjaan bukan perladangan AS meningkat sebanyak 57,000 pada Jun, jauh lebih rendah daripada unjuran konsensus sebanyak 114,000.
Beliau berkata, data guna tenaga pada April dan Mei turut disemak semula kepada paras lebih rendah, menunjukkan bahawa pasaran tenaga kerja mungkin tidak cukup kukuh untuk mewajarkan kenaikan kadar faedah oleh Fed dalam masa terdekat.
"Berdasarkan analisis teknikal, ringgit berbanding dolar AS kini berada dalam fasa terlebih jual. Ini bermakna ringgit berpotensi untuk meningkat berbanding dolar AS dalam tempoh terdekat.
"Semalam, ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS sebanyak 0.33 peratus kepada RM4.0805. Oleh itu, dolar AS/ringgit dijangka berada pada RM4.06 hingga RM4.07 hari ini,” katanya kepada Bernama.
Pada sesi pembukaan, ringgit tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia meningkat berbanding pound kepada 5.4296/4430 daripada 5.4401/4467 semasa ditutup pada Khamis, mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5214/5277 daripada 2.5295/5327 dan tinggi berbanding euro kepada 4.6497/6612 daripada 4.6526/6583.
Mata wang tempatan turut diniagakan tinggi berbanding mata wang serantau.
Ringgit meningkat berbanding peso Filipina kepada 6.61/6.63 daripada 6.62/6.63, mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 226.2/226.8 daripada 226.6/226.9, naik berbanding baht Thailand kepada 12.2384/2744 daripada 12.2411/2613 dan tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.1483/1563 daripada 3.1517/1558 sebelum ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
