PLATFORM komunikasi sosial terbesar di China, WeChat yang dibangunkan Tencent melancarkan fungsi pembayarannya WeChat Pay MY, yang kini boleh digunakan di Malaysia.

Naib Presiden Kumpulan Tencent International Business, Poshu Yeung berkata, WeChat Pay MY merupakan penyelesaian pembayaran mudah alih dan memberikan pengalaman pembayaran yang ringkas selamat dan mudah kepada pengguna tempatan.

“Integrasi antara WeChat Pay MY dengan ekosistem WeChat akan membolehkan perniagaan tempatan untuk berhubung dengan pelanggan sewaktu membeli belah.

“WeChat Pay MY membolehkan pengguna untuk membuat pembayaran dan pemindahan wang dalam bentuk Ringgit Malaysia (RM) melalui aplikasi WeChat yang merangkumi pelbagai keperluan pembayaran dalam dan luar talian harian,” katanya.

Katanya, platform ini membolehkan pemindahan wang oleh individu dilakukan serta pembayaran wang kepada peniaga seperti syarikat telekomunikasi, penyedia tiket bas, syarikat  penerbangan, restoran, pasar raya, rangkaian kedai dan banyak lagi.

Dengan pelbagai lapisan perlindungan keselamatan bagi kedua-dua pengguna dan peniaga, terdapat beberapa ciri-ciri utama WeChat Pay MY termasuk, bayaran pantas, di mana pengguna  hanya perlu paparkan kod QR kepada peniaga dan masukkan kod laluan untuk membuat pembayaran.

KK Super Mart adalah rangkaian kedai pertama menerima pembayaran WeChat Pay MY.

"Untuk menikmati fungsi-fungsi yang ada di dalam WeChat Pay MY, pengguna boleh memilih untuk menambah nilai baki dompet dengan membuat pautan kad debit Mastercard atau Visa yang dikeluarkan oleh bank di Malaysia.

"Setiap akaun WeChat boleh menggunakan lebih daripada satu kad debit manakala setiap kad debit hanya boleh digunakan untuk satu akaun WeChat sahaja,” katanya.

Tambahnya, melalui fungsi ‘Sampul Duit’, pengguna WeChat Pay MY boleh membuat pembayaran atau pemindahan wang serta-merta tanpa sebarang caj.

Fungsi Sampul Duit ini turut boleh digunakan sebagai tanda penghargaan persahabatan dengan berkongsi wang melalui peer-to-peer, menggunakan rangkaian sosial WeChat.

"Bagi meraikan pelancaran WeChat Pay MY, Sampul Duit akan diberikan kepada semua pengguna WeChat Pay My, untuk memberi mereka pengalaman menggunakan fungsi unik tersebut,” katanya.