FESTIVAL Pertengahan Musim Luruh sekali lagi disambut meriah di Sunway Velocity Mall buat kali kedua sepanjang bulan ini bermula 4 September hingga 24 September.

'An Autumn Reunion' adalah tema dipilih sebagai inspirasi dari penyatuan kekeluargaan dalam meraikan perayaan pertengahan musim luruh dengan kemeriahan cahaya tanglung dan kuih bulan.

Pengurus Besar Kanan, Sunway Velocity Mall, KS Wong berkata, sambutan Festival Pertengahan Musim Luruh tidak lengkap tanpa merasai keenakan kuih bulan.

"Menambah kemeriahan perayaan kali ini, vendor-vendor dan jenama terkenal seperti Hilton, Oversea, Tai Thong, Casahana dan Grand Imperial turut menawarkan pelbagai pilihan istimewa kuih bulan.

"Sepanjang festival berlangsung, pelbagai tawaran istimewa seperti snek, kopi, tanglung tradisional dan moden serta aktiviti menarik disajikan seperti Parti Teh dan acara bersama Didi & Friends yang di jadual pada 10, 11 dan 17 September ini,” katanya selepas merasmikan festival berkenaan.

Turut hadir merasmikan Festival Pertengahan Musim Luruh ini adalah Ketua Pegawai Operasi Sunway Malls, Kevin Tan Gar Peng, Pengurus Besar Pengurusan Pusat, Sunway Velocity Mall, Danny Lee dan Pengurus Kanan Pemasaran Sunway Velocity Mall, Jessica Leong.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan antaranya bengkel membuat kuih bulan, pertandingan Little Miss Cheongsam dan demonstrasi wing chun.

Bersempena sambutan perayaan Pertengahan Musim Luruh ini juga, Sunway Velocity Mall turut menganjurkan Pertandingan Mereka Cipta Tanglung yang berlangsung pada 9 Julai hingga 20 Ogos lalu.

Lebih 100 penyertaan diterima dan seramai 23 peserta akhir bertuah menerima hadiah berupa baucar dan hadiah iringan.

Pertandingan itu juga menyaksikan Chong Chit Keong muncul pemenang pertama dan membawa pulang wang tunai RM3,000 serta barangan Gintel.

Tempat kedua dimenangi Yap Yoke Keow dan ketiga Cheah Sing Sing. Kedua-dua pemenang turut membawa pulang wang tunai dan barangan dari Gintel.