AMBANK (Malaysia) Berhad (AmBank) membuka cawangan baharu di pusat membeli-belah gaya hidup dan transit, Nu Sentral, Kuala Lumpur, bagi memberi kemudahan kepada pelanggannya.

Cawangan Nu Sentral itu menggantikan cawangan AmBank KL Sentral sebelum ini, yang dipindahkan ke ruangan lebih besar, bagi menampung lebih banyak transaksi kaunter dan perniagaan.

Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim berkata, cawangan Nu Sentral yang direka lebih ergonomik untuk meningkatkan kecekapan dan memberikan pengalaman unggul kepada pelanggan.

"Cawangan baru ini terletak di Central Business District di Kuala Lumpur. Ia mempunyai dua tingkat, melibatkan keluasan 1,866 kaki persegi.

"Ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan mesin wang pengeluaran automatik (ATM), mesin deposit tunai (CDM) dan mesin pengimbas cek, menjadikan perkhidmatan perbankan lebih selesa dan mudah untuk pelanggan kami," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Nu Sentral merupakan antara beberapa cawangan AmBank yang dilengkapi dengan automasi proses Akaun Semasa dan Akaun Simpanan (Casa).

"Pelanggan boleh mengesahkan maklumat peribadi dalam e-Form dan menandatanganinya secara digital menerusi tablet.

"Ini bermakna, masa pemprosesan untuk membuka akaun dengan bank ini kini dikurangkan daripada kira-kira 45 minit, kepada 10 minit melalui 'Paperless-Straight-Through-Process'," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :