PASARAN hartanah dijangka stabil pada 2018, berikutan ekonomi yang kukuh disokong peningkatan perbelanjaan kerajaan dalam kemudahan infrastruktur. Pada dasarnya, langkah berkenaan disasarkan untuk membantu menyediakan lebih banyak pilihan kepada pembeli rumah dan merangsang pertumbuhan industri hartanah serta ekonomi secara keseluruhannya. Peruntukan sebanyak RM2.2 bilion kerajaan bagi merangsang sektor perumahan, khususnya pemilikan rumah. Selain insentif tersebut, kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk memiliki rumah sendiri juga mendorong 2018 adalah tahun terbaik memiliki hartanah. Ikuti wawancara bersama Pengasas FAR Capital Sdn Bhd yang juga Pengarah portal Gilahartanah, Faizul Ridzuan.

Bagaimanakah pasaran hartanah pada 2018 terutamanya pemilikan rumah?

Saya meramalkan sentimen pasaran hartanah akan bertambah baik pada 2018 berbanding dua tahun kebelakangan ini. Sentimen akan bertambah baik pada tahun ini kerana dua tahun sebelum ini, orang ramai bimbang terhadap apa akan berlaku dalam negara antaranya kejatuhan ringgit dan perkara lain. Bagaimanapun, ringgit sekarang bertambah baik dan dijangkakan ia berterusan sehingga pilihan raya. Pada 2018, orang akan membeli kediaman kerana dijangkakan ada pilihan raya.

Kenapa perlu selepas pilihan raya?

Data sebelum ini menunjukkan kebiasaannya orang ramai akan membeli kediaman selepas pilihan raya. Mereka akan 'tunggu dan lihat' sehingga selepas pilihan raya. Ia bertujuan untuk memastikan akan ada atau tidak pertukaran kerajaan. Jika ada pertukaran kerajaan, sudah tentu pertukaran polisi akan dilaksanakan. Saya meramalkan kerisauan mereka kepada keadaan politik juga menyebabkan mereka tidak akan membeli hartanah sehingga selepas pilihan raya. Malahan, lebih banyak aktiviti pembangunan pada enam bulan terakhir berbanding enam bulan pertama tahun ini.

Berapakah peratus kenaikan harga rumah pada 2018?

Pemilikan rumah akan lebih rancak pada suku ketiga dan keempat tahun ini. Dari segi peratusan indeks harga rumah negara, ia dijangka meningkat tetapi tidak melebihi tujuh peratus berbanding tahun 2017. Insentif perumahan dalam Bajet 2018 yang diumumkan baru-baru ini juga, menyumbang kepada kenaikan pemilikan rumah pada tahun ini. Antara intensif yang disediakan ialah peruntukan sebanyak RM2.2 bilion diberikan kepada hal-hal berkaitan perumahan dan kediaman. Kebanyakan pemaju juga mula membina kediaman di bawah harga RM500,000. Dalam tempoh 18 tahun akan datang, banyak kawasan perumahan mampu milik berharga antara RM250,000 hingga RM500,000 di kawasan Lembah Klang.

Di manakah lokasi yang rancak pembangunan hartanah?

Kawasan yang akan berlaku pembangunan hartanah aktif bergantung kepada kemudahan infrastruktur dan akses yang baik serta banyak peluang pekerjaan. Semua lokasi kediaman boleh dibeli tetapi perlu membeli dengan harga yang betul. Permintaan meningkat untuk memiliki pangsapuri berharga RM300,000 yang memiliki tiga bilik mempunyai kemudahan infrastruktur. Ada juga lokasi kediaman yang mempunyai harga tinggi, oleh itu pembeli perlu melihat kepada kemampuan diri untuk membiayai kediaman yang ingin dimiliki.

Kawasan yang akan mempunyai penambahan pembinaan kediaman adalah Lembah Klang kerana ia merupakan kawasan yang ada anjakan kemudahan infrastruktur seperti projek MRT yang memberikan impak yang positif kepada hartanah. Dengan adanya MRT ia akan memberikan pilihan kepada pembeli atau penyewa untuk menggunakan pengangkutan awam ke tempat kerja.

Jika dilihat hartanah Johor Bharu pula mungkin bermasalah kerana pada 2012 pemaju membina kediaman berharga tinggi dan disasarkan kepada pembeli dari Singapura dan China. Penduduk tempatan memilih untuk membeli rumah yang dijual pada harga mampu milik dan bertanah. Di Pulau Pinang pula dijangka lebih baik kerana mempunyai pelaburan langsung asing (FDI) tinggi selepas tiga tahun kebelakangan ini.

Siapakah golongan pembeli?

Data yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan lebih 70 peratus pembeli rumah pertama yang berumur antara lewat 20-an dan awal 30-an memohon pinjaman perumahan. Kami menjangkakan golongan tersebut adalah pembeli rumah pada tahun ini. Dengan kelulusan Bajet 2018 menyediakan insentif yang dilihat polisi serata tanpa mengira kaum dilihat adil. Malahan, kesedaran untuk memiliki rumah dalam kalangan generasi muda memacu perkembangan industri itu. Mereka mahu memiliki rumah yang berharga RM300,000. Harga rumah sedemikian akan mendapat sambutan yang menggalakkan, permintaan kediaman berharga RM400,000 sehingga RM500,000 stabil dan permintaan rumah mewah akan jatuh.

Bagaimana kedudukan pemaju pada 2018?

Pemaju kena realistik dari segi produk dan harga jualan. Pemaju perlu membuat kediaman yang menepati kehendak pasaran.

Peruntukan RM2.2 bilion itu akan membantu menangani isu-isu perumahan mampu milik dari segi keupayaan kewangan untuk pembelian dan juga merangsang meningkatkan bekalan rumah mampu milik. Langkah kerajaan untuk meluaskan skim pembiayaan berperingkat bersyarat akan membantu pembeli rumah khususnya, mereka yang sedang berusaha untuk mendapatkan kemudahan pinjaman bagi rumah pertama.

Selain itu, pada 2017 berlaku 160,000 transaksi pembelian rumah melibatkan nilai RM200 juta dan kami menjangkakan pada 2018 ia akan sama jumlah transaksinya. Tindakan kerajaan membekukan pembinaan kompleks beli-belah menyebabkan ia tidak akan dibina.