BDB lancar Projek Aman Perdana di Serdang

Lakaran kedai pejabat dua tingkat yang akan merancakkan lagi ekonomi di Serdang. Gambar kecil: Tunku Fauzi Tunku Abdul Malek
Lakaran kedai pejabat dua tingkat yang akan merancakkan lagi ekonomi di Serdang. Gambar kecil: Tunku Fauzi Tunku Abdul Malek
A
A
A

BANDAR BAHARU - Bina Darulaman Berhad (BDB) melalui anak syarikatnya, Kedah Holdings Sdn Bhd (Kedah Holdings) melancarkan projek pembangunan Aman Perdana di Serdang di sini dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM 33 juta.

Ketua Divisyen Hartanah dan Leisure, Tunku Fauzi Tunku Abdul Malek berkata, projek tersebut merupakan usahasama dengan Majlis Daerah Bandar Baharu (MDBB) dan melibatkan pembangunan perumahan bercampur 143 unit di atas kawasan seluas 4.6 hektar.

Menurutnya, Aman Perdana merupakan projek perumahan yang pertama di Serdang dalam tempoh 10 tahun yang lalu dan akan mula dibina pada awal 2020.

"Projek ini dijangka siap dalam tempoh dua tahun dan ia sekaligus dilihat mampu memenuhi permintaan yang tinggi terhadap perumahan khususnya bagi penduduk di kawasan berkenaan dan juga sekitar daerah Bandar Baharu," katanya dalam suatu kenyataan di sini hari ini.

Tunku Fauzi berkata, pelancaran kali ini melibatkan projek pembangunan bagi kedai pejabat dua tingkat, banglo setingkat, teres dua tingkat, Semi-D setingkat, teres setingkat serta melibatkan pembinaan rumah Makmur Kedah, Aman Kedah serta Kasih Rakyat.

Lakaran rumah banglo yang akan dibina di kawasan berkenaan.
Lakaran rumah banglo yang akan dibina di kawasan berkenaan.

"Harga jualan adalah antara RM140, 000 hingga RM483, 000 bagi rumah banglo, teres satu dan dua tingkat serta semi-D setingkat manakala RM570,000 hingga RM882,000 bagi kedai pejabat dua tingkat.

"Di samping itu, harga bagi rumah Makmur Kedah pula bermula dari RM 150,000 sehinggalah RM170,000 dan rumah Aman Kedah pula di antara RM 90,000 sehingga RM 100,000 manakala bagi rumah Kasih Rakyat pula di antara RM 35,000 hingga RM 65,000," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tunku Fauzi berkata, pelancaran projek pembangunan tersebut sekaligus menunjukkan komitmen BDB untuk menawarkan rumah moden pada harga mampu milik di mana 82 peratus daripada rumah yang ditawarkan berharga RM 300,000 ke bawah.

"Selain daripada rumah kediaman, BDB juga memberi peluang kepada para peniaga di kawasan tersebut untuk meluaskan perniagaan mereka dengan menawarkan kedai pejabat dua tingkat yang dilihat mampu untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi di Serdang.

"Di samping itu, BDB menerusi Kedah Holdings akan menyediakan kawasan lapang untuk kemudahan penduduk di kawasan perumahan berkenaan dan pihak MDBB juga akan menaiktaraf prasarana serta perkhidmatan awam di kawasan persekitarannya.

"Daerah Bandar Baharu secara amnya atau Serdang khususnya mempunyai potensi untuk dibangunkan maka dengan ini BDB akan memainkan peranan utama dan akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam usaha untuk memajukan daerah ini dan Kedah pada masa akan datang," katanya.

Untuk rekod, Kedah Holdings terlibat dalam pembangunan perumahan yang dijalankan dalam skala kecil yang mana antara projek-projek perumahan yang telah dilaksanakan adalah Kulim Heights Apartment, Taman Nusantara, Taman Lelasari yang terletak di kawasan pinggir bandar iaitu di Kulim, Kuala Kedah dan Langgar serta Bandar Sejahtera di Pokok Sena.