‘Sarjan Rizal’ ambil jersi tak bayar

Tangkap layar suspek memakai vest polis dipercayai menyamar dan mengambil jersi tanpa membuat bayaran.
Tangkap layar suspek memakai vest polis dipercayai menyamar dan mengambil jersi tanpa membuat bayaran.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang lelaki dipercayai menyamar sebagai anggota polis dikenali 'Sarjan Rizal' bertindak mengambil dua jersi dan satu seluar di sebuah kedai pakaian sukan di Jalan Bayam, Dusun Muda di sini pada Sabtu tanpa membuat bayaran.

Kejadian pada jam 8.30 malam ketika pemilik kedai, Aznee Alaman, 58, berada di premis berkenaan dan didatangi suspek lengkap berpakaian vest bertulis polis.

“Dia mengaku anggota polis yang baharu bertukar dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan selama tujuh bulan.

“Dia ambil dua jersi dan sehelai seluar berjumlah RM69. Ketika hendak membuat bayaran, dia beritahu dompet tertinggal dan semasa hendak memasukkan duit secara dalam talian, dia kata telefon pula tertinggal,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurut Aznee, suspek memberikan nombor telefon dan memintanya untuk menghantar nombor akaun melalui WhatsApp namun sehingga petang Isnin, Whatapps tersebut tidak dibalas dan hanya terdapat satu tik.

Suspek sama juga dilihat di sebuah kedai keropok di Kedai Buloh sambil mendukung seorang kanak-kanak perempuan. - Foto Facebook Muhaimin Aznee
Suspek sama juga dilihat di sebuah kedai keropok di Kedai Buloh sambil mendukung seorang kanak-kanak perempuan. - Foto Facebook Muhaimin Aznee

“Saya cuba semak dengan kawan-kawan di IPK dan tidak ada siapa-siapa pun kenal lelaki itu.

“Saya bimbang perkara ini berulang dan bertindak membuat laporan di balai polis Kota Bharu pada jam 11 malam Ahad untuk tindakan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, kejadian tersebut turut tular selepas dikongsikan oleh anaknya ke laman Facebook sejak Ahad dan ada ramai dalam kalangan netizen yang berniaga berkongsi kejadian sama berlaku di kedai mereka.

Aznee berkata, terbaharu seorang peniaga keropok di Cabang Tiga Kedai Buloh di sini hampir menjadi mangsa sepertinya apabila didatangi suspek sama yang dipercayai menyamar dengan memakai vest polis sambil mendukung seorang kanak-kanak perempuan.

“Peniaga keropok tersebut bagaimanapun terlebih dahulu menyedari awal kejadian ini dengan melihat muat naik yang tular dan dikatakan tidak membenarkan suspek mengambil keropok tanpa bayaran.

“Gerak-geri lelaki itu juga dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di kedai keropok itu dan dimuat naik di Facebook supaya orang ramai berwaspada daripada tertipu,” katanya.