Tanah lapangan terbang dijual ketika zaman PH

Saarani (kanan) menyampaikan bantuan kepada penerima ketika Majlis Perasmian Program CSR Bantuan Persekolahan dan Orang Kurang Upaya Oleh Kelompok-Kelompok Padang Ragut Daerah Perak Tengah dan JPV Negeri Perak 2021 di Dewan Dato' Ahmad Hambal, Bota Kanan pada Khamis.
Saarani (kanan) menyampaikan bantuan kepada penerima ketika Majlis Perasmian Program CSR Bantuan Persekolahan dan Orang Kurang Upaya Oleh Kelompok-Kelompok Padang Ragut Daerah Perak Tengah dan JPV Negeri Perak 2021 di Dewan Dato' Ahmad Hambal, Bota Kanan pada Khamis.
A
A
A

PARIT - Kerajaan Perak mengesahkan tanah yang dicadangkan untuk dibangunkan sebagai lapangan terbang di Seri Iskandar telah dijual kepada syarikat swasta ketika di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN), tanah tersebut diberikan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) bagi tujuan pembinaan lapangan terbang tersebut.

Menurutnya, tanah tersebut tidak boleh diambil semula memandangkan syarikat berkenaan sudah pun mendapat kebenaran merancang untuk melaksanakan pembangunan bercampur di kawasan terbabit.

"Masa BN kita simpan tanah itu. Masa PH mereka jual. Jadi kita tiada lagi tanah untuk buat lapangan terbang.

"Tanah itu telah pun diluluskan untuk tujuan pembangunan bercampur. Terpulang kepada syarikat itu nak buat apa," katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Bantuan Persekolahan dan Orang Kurang Upaya Oleh Kelompok-Kelompok Padang Ragut Daerah Perak Tengah dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Perak 2021 di Dewan Dato' Ahmad Hambal, Bota Kanan pada Khamis.

Hadir sama, Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria; Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed; Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria; ADUN Belanja, Khairudin Abu Hanipah dan Pengarah JPV Perak, Dr Ahmad Shafri Hassan.

Saarani berkata, kerajaan negeri terpaksa mencari tapak baharu yang lebih sesuai bagi pembinaan lapangan terbang yang dicadangkan.

Katanya, pembinaan lapangan terbang bertaraf antarabangsa merupakan satu keperluan di negeri ini bagi membolehkan kapal terbang lebih besar mendarat di Perak.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, lokasi baharu itu belum dikenal pasti sama ada kekal di Seri Iskandar atau dipindahkan ke lokasi lain dan pemilihan lokasi baharu itu perlu mendapat pandangan daripada pihak berkaitan seperti Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Pada Selasa, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Nga Kor Ming ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak mendedahkan tanah bagi tapak lapangan terbang di Seri Iskandar telah dijual tanpa kebenaran Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.