X

Kindly register in order to view this article
!

Pelantikan Azmin: Keputusan sultan harus diterima

Noh Omar
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata keputusan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkaitan pelantikan Menteri Besar Selangor yang baharu perlu diterima semua pihak.     Beliau berkata tidak wajar bagi mana-mana pihak menentang keputusan itu kerana ia dilakukan mengikut kebijaksanaan baginda.     "Apa yang ditentukan oleh Sultan (Selangor), semua kena akur. Jika akur, ia menunjukkan kita hormat pada Sultan dan Perlembagaan negara," katanya kepada Bernama malam tadi.     Beliau mengulas pelantikan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor ke-15, yang berkuat kuasa hari ini selepas Istiadat Angkat Sumpah dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan di Istana Alam Shah, Klang.      Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad pula berharap semua pihak dapat menumpukan perhatian terhadap usaha memberi khidmat terbaik kepada rakyat di negeri ini. "Lupakan sama sekali perebutan kuasa dan pergeseran antara pimpinan politik," katanya.     Iskandar bagaimanapun enggan mengulas lanjut pelantikan itu, yang diperkenan oleh Sultan Selangor.     Sebelum ini, selain Mohamed Azmin, Iskandar yang juga Adun Cempaka dan Adun Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi antara nama yang disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Selangor.     Setiausaha Pas Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, Pas Selangor menjunjung titah Sultan Sharafuddin dalam pelantikan itu dan sedia bekerjasama dengan Mohamed Azmin bagi meneruskan kecemerlangan negeri ini serta mempertingkat kebajikan rakyat.     Sementara itu, Ketua Pemuda MIC Selangor, V.Mugilan berharap Azmin sedia bekerjasama dengan semua pihak demi kebaikan semua lapisan masyarakat di negeri ini.     "Perbezaan politik tidak wajar dijadikan halangan seterusnya membantutkan peluang rakyat mendapat manfaat berasaskan kepada kepentingan rakyat.     "Saya berharap dalam pentadbiran negeri, beliau tidak akan membuat keputusan mengikut rentak pihak lain dan sentiasa memberi keutamaan kepada kepentingan semua lapisan rakyat," katanya. - Bernama


×

Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus