X

Kindly register in order to view this article
!

Pas nafi lakukan 'pembersihan' besar-besaran

A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda Pas, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz menafikan 'pembersihan' besar-besaran melanda parti itu sepanjang krisis dalaman yang menyebabkan tertubuhnya Parti Amanah Negara (Amanah), baru-baru ini.

Menurutnya, 'pembersihan'‎ yang berlaku itu hanya biasa-biasa sahaja meskipun ekoran daripada itu beberapa pimpinan utama parti itu meninggalkan Pas dan membentuk parti lain.

"Sebab itu tak boleh kata pembersihan besar-besaran. Pembersihan biasa. Saya sendiri dan pemimpin lain daripada awal menyebut, yang tak puas hati dengan Pas, kita selesaikan dengan cara yang baik.

"Yang sudah tak selesa dengan Pas, dia boleh keluar, tak perlu kita pecat dan boleh masuk parti-parti lain, nak aktif (berpolitik) ataupun tidak, itu terpulang.  Yang keras kepala kena pecatlah," katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Pemuda Pas Wilayah Persekutuan ke-31, di sini, hari ini.

Tahun lalu, sebahagian pemimpin dan ahli Pas meninggalkan parti dan menyertai Amanah termasuk bekas Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu.

Mengulas lanjut, Nik Abduh berkata, harus diakui ada ahli Pas yang meninggalkan parti dan ada juga yang memilih untuk kekal.

"Sehari demi sehari, yang nak keluar, dia keluar. Beritahu, tak nak beritahu, itu pilihan. Yang rasa nak kekal, mereka kekal.

"Ramai yang pening tapi akhir sekali dah tak pening sebab nampak. Semakin hari semakin ramai yang istiqamah. Pada awal memang kocakannya besar, nak buat keputusan susah tapi oleh kerana dia sabar melihat, akhir sekali dia melihat Pas ini lebih baik," katanya.

Menyentuh soal suasana Muktamar Tahunan Pas akan datang, Nik Abduh menjangkakan suasana akan lebih tertib susulan apa yang melanda parti.

"Tapi memang yang di atas pentas akan kena hentam. Termasuk saya tapi tiada sekatan. Mereka bebas bersuara," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!