Pemuda BN Selangor fokus tarik undi penyokong, ahli UMNO

Mohd Imran
Mohd Imran
A
A
A

HULU SELANGOR - Pemuda Barisan Nasional (BN) dan UMNO Selangor memberi fokus kempen untuk memastikan ahli dan penyokong parti itu mengundi calon Pakatan Harapan (PH) pada hari mengundi 11 Mei nanti.

Ketua Pemuda UMNO Selangor, Datuk Mohd Imran Tamri berkata, usaha itu dilakukan selari dengan semangat Kerajaan Perpaduan bagi memastikan Pang Sock Tao memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

"Fokus kita (UMNO Selangor) adalah untuk menyokong dan memastikan pengundi UMNO dan BN khususnya orang Melayu di Kuala Kubu Baharu ini memberi keyakinan dan kepercayaan kepada parti Kerajaan Perpaduan.

"Selama tiga penggal rakyat Kuala Kubu Baharu memberi kepercayaan dan keyakinan kepada mendiang Lee Kee Hiong mentadbir.

"Ia membuktikan mendiang mentadbir dan mengurus kawasan ini dengan baik serta teratur. Jadi mengapa tidak kita beri peluang kepada calon anak muda dari PH ini untuk teruskan legasi," katanya ketika ditemui di pekan Kuala Kubu Baharu di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai fokus kempen Pemuda UMNO Selangor sepanjang kempen PRK kali ini.

Tambah Mohd Imran, pihaknya juga akan memberi fokus kepada pengundi muda yang merupakan kelompok terpenting untuk memenangi pilihan raya kali ini.

"Saya sebagai Ketua Pemuda UMNO Selangor sudah pasti akan menumpukan kepada pengundi muda di Kuala Kubu Baharu supaya mereka memilih parti yang progresif, membawa kemakmuran dan kemajuan," katanya.

Artikel Berkaitan:

PRK DUN Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Perikatan Nasional (PN), PH, Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan bebas.

PH yang mewakili Kerajaan Perpaduan mempertaruhkan Sock Tao, PN pula diwakili Khairul Azhari Saut, Hafizah Zainuddin berrtanding bagi pihak PRM, manakala Nyau Ke Xin mewakili Bebas.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!