X

Kindly register in order to view this article
!

'Negara berkebajikan banyak bantu Kelantan'

Nik Abdul Aziz Nik Mat
A
A

SHAH ALAM - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata pendekatan beliau memperjuangkan dasar 'negara berkebajikan' sepanjang dua dekad  lalu telah membawa impak besar dalam membantu rakyat Kelantan walaupun ia nampak kecil.

Beliau yang menyandang jawatan Menteri Besar bermula 1990 berkata, sejak mengetuai Kerajaan Kelantan beliau tidak pernah mengambil pemberian elaun-elaun kerajaan, sebaliknya sanggup hidup bersederhana bersama rakyat.

"Saya tidak pernah menggunakan wang kerajaan. Saya tak tinggal di rumah yang disediakan oleh kerajaan.

"Selama ini juga saya tidak ambil elaun yang diberikan oleh kerajaan. Sebagai contoh sebulan dapat RM5,000. Cuba bayangkan kalau setahun," katanya dalam ucapan pada Majlis Makan Malam Bersama Pemimpin Pas di sini, malam tadi.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang turut hadir pada majlis malam tadi telah mengetengahkan dasar negara kebajikan pihaknya ketika menyampaikan ucapan dasar pada muktamar Jun lalu.

Pas juga menjadikan konsep negara berkebajikan sebagai tema manifestonya pada Pilihan Raya Umum 2008.

Mengulas pendekatan kepimpinan Kerajaan Negeri, Nik Abdul Aziz juga berkata, elaun sambutan Aidilfitri dan Aidiladha yang diberikan kerajaan iaitu sebanyak RM30,000 hingga RM50,000 tidak pernah diambilnya.

Jelasnya, tindakan tidak mengambil elaun yang diberi oleh kerajaan telah menjimatkan banyak duit rakyat.

"Jika pemimpin ada sikap begini, rakyat miskin tidak akan jadi bangsat sebab mereka akan dapat bahagian mereka atas keperihatinan kita yang memimpin.

"Kita perlu memimpin berlandaskan dengan cara Islam sebab Islam itu sebuah badan kebajikan yang menolong orang," katanya.

Tambah Nik Abdul Aziz, konsep mengharamkan riba di Kelantan juga membebaskan negeri itu daripada premis judi.  


×

Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus