X

Kindly register in order to view this article
!

Muktamar Pas ke-62 paling ditunggu-tunggu

A
A

KOTA BHARU - Muktamar Pas kali ke-62, satu kongres besar yang menjadi penantian setiap perwakilan parti Islam itu, tidak kurang juga ilmuwan, pengkaji politik, mahupun pengkritik dan penganalisis dari seluruh negara.

Menjadi satu kebanggaan kepada hampir seluruh rakyat Kelantan apabila kongres ini dilangsungkan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) Pengkalan Chepa, yang akan mendatangkan seribu satu rezeki kepada masyarakat di Kelantan.

Bagi perwakilan, inilah masanya untuk mereka mendengar, berkongsi pendapat, berbincang dan sebagainya mengenai hala tuju, dasar dan perjuangan parti yang diperjuangkan selama ini, tambahan pula di negeri tumpah darah bekas Mursyidul Amnya, Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ramai yang berpendapat, pelbagai isu akan menjadi topik utama kongres tersebut kali ini, terutamanya apabila Pas ‘kehilangan’ pemimpin-pemimpin berpengaruh seperti Mat Sabu, Husam Musa dan sebagainya.

Namun begitu, menurut Penganalisis Politik, Datuk Prof Dr Zainal Kling, muktamar kali ini tetap akan meneguhkan, dengan kedudukan presiden dan Majlis Ulamanya. Mungkin juga akan memperlihatkan seolah-olah mengetepikan ahli-ahli yang menentang keputusan mereka selama ini.

Malah, pemecatan Datuk Husam Musa sebagai ahli Pas juga tidaklah sehangat isu lain yang mungkin akan memberi kesan kepada perjuangan Pas selepas ini untuk merebut pentadbiran negara daripada pemerintah kini.

“Muktamar tersebut tetap akan teguh. Husam tiada ada tempat lagi dalam Pas. Kalau ada pun, sokongan mengenai hal itu (pemecatan Husam) sudah lemah. Muktamar akan sokong Tuan Guru (Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang) dan ulama,”katanya kepada Sinar Harian.

Di antara beberapa topik hangat yang mungkin akan mendapat ‘sambutan’ hangat kali ini ialah berkenaan dengan kerjasama dengan Umno, yang banyak dimainkan sejak ketiadaan Tok Guru Nik Abdul Aziz, dua tahun lalu.

Malah, ia perlu dibincangkan, kerana rata-rata perwakilan mungkin mempunyai hujah sendiri apabila Pas kini dilihat semakin tercabar dengan pelbagai pergerakan baru, terutamanya daripada parti serpihannya, Parti Amanah Negara (Amanah), yang juga boleh dikatakan ‘musuh’ utama Pas kini.

Malah kini ramai pendukung-pendukung parti yang melihat Pas dan Umno perlu berada di dalam satu bumbung walaupun dasar yang berlainan, demi negara, demi bangsa Melayu, perkara tersebut perlu berlaku supaya kotak pemikiran sempit itu tidak menjadi halangan kepada kerjasama tersebut.

Malah menurut Prof Dr Zainal juga, jika isu kerjasama tersebut dimainkan muktamar kali ini, maka akan berbunyilah pelbagai gendang yang menghujahkan pendapat masing-masing, sama ada menyokong, mempersoalkan, berdiskusi, mahupun tidak kurang juga menghentam sesama sendiri.

“Kalau itu ada (perbincangan mengenai kerjasama), maka PRU 14 nanti akan ada kerjasama antara parti Melayu dan Islam. Itu yang akan menjadi perhatian kita (penganalisis). Sama ada kerjasama ini akan memberi kesan yang positif atau negatif,” katanya.

Mana-mana parti sekalipun tidak akan lari daripada masalah dalaman, malah Pas sendiri, berdepan dugaan dan cabaran getir apabila kehilangan beberapa muka pejuang parti itu, sejak awal tahun ini.

Tetapi, menurut Prof Dr Zainal, isu dalaman bukanlah tajuk utama kali ini. Walaupun ia tetap berada dalam agenda, namun ia akan menjadi sekadar teguran kecil yang langsung tidak akan menggugat pimpinan.

Pas juga cukup berani untuk ‘kehilangan’ penyokong dari masyarakat bukan Islam, demi memartabatkan hukum Allah dalam pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah. Namun kebanyakan penyokong Pas yang bukan Islam, memahami dengan jelas mengenai perlaksanaan tersebut, berbanding dengan parti-parti komponen BN. Sedangkan mereka sudah bersama dengan BN agak lama, bukan sehari dua.

Mengupas isu tersebut,  Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, kejayaan Hadi mengemukakan usul persendirian di Parlimen dijangka memberi nafas baru dan lonjakan besar dalam perjuangan Pas, sekali gus menyebabkan wujudnya konsolidasi di dalam muktamar, iaitu mengenai penegasan perjuangan Islamnya.

Bukan itu sahaja,  kerjasama yang diberikan oleh pemimpin Umno di dalam memberi ruang kepada Pas mengemukakan usul tersebut juga dijangka akan menjadikan pemimpin parti Islam itu bersikap lebih lunak ke atas BN.

“Tetapi saya juga membayangkan, satu seruan akan turut dipalu supaya mereka (pemimpin) yang cenderung menyokong bekas-bekas ahli Pas yang dianggap ‘pengkhianat’ parti sebelum ini untuk meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat atau keluar dari Pas, walaupun mereka akan berdepan bai'ah yang mereka lafazkan sewaktu terpilih menjadi calon Pas dahulu,” katanya.

Pelbagai kemungkinan akan berlaku, namun untuk menunjukkan kematangan parti itu, mungkin isu dalaman tidak akan diterjemahkan sebagai agenda utama dalam kongres tersebut, walaupun tindakan sesetengah pemimpin kini boleh dianggap sebagai duri dalam daging.

Walau apa pun, jika isu itu mendatangkan kebaikan dan manfaat yang berguna kepada rakyat, maka ia seharusnya dibahaskan sewajarnya oleh perwakilan seluruh negara.


×

Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus