X

Kindly register in order to view this article
!

Mahathir ‘singa’ negara ketiga, bukannya boneka

Raja Kamarul Bahrin Shah
Raja Kamarul Bahrin Shah
A
A

KUALA TERENGGANU – Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad terus dikecam pemimpin pembangkang berikutan kenyataannya yang menggambarkan Tun Mahathir Mohamad sebagai boneka Pakatan Harapan.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad mempertahankan Mahathir dengan menyifatkan kenyataan itu sebagai terdesak dan melucukan serta tidak menolak pihak terlibat cemburukan penubuhan Pakatan Harapan baru-baru ini.

Menurutnya, Mahathir sebagaimana dikenali umum bukanlah individu yang mudah terpengaruh dengan mana-mana pihak termasuk di peringkat antarabangsa, jauh sekali menjadi boneka dalam negara sendiri.

“Suara dan kuasa besar Amerika, Britain dan Australia pernah beliau tentang secara terbuka dan tegas sehingga dikagumi dunia umum,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau berkata sebagai mengulas kenyataan Tengku Sarifuddin bahawa Mahathir boneka kepada Lim Kit Siang sebagaimana disiarkan akhbar arus perdana sebelum ini.

Menyifatkan pendirian Mahathir sebagai suara ‘singa’ bagi negara ketiga dan membangun, Raja Bahrin turut menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai ‘suara kucing berbisik di balik tabir’.

Beliau yang merupakan Pengerusi Amanah Terengganu berkata, perbezaan yang jauh boleh dilihat antara kedua-duanya apabila Najib dilihat lebih banyak membisu di pentas antarabangsa.

“Sebenarnya memang wujud boneka di Putrajaya tetapi ia bukan di Pejabat Yayasan Perdana, Pejabat Tun Mahathir. Definisi boneka adalah seseorang yang mengikut telunjuk dan arahan pihak luar. Contohnya adalah apabila suara dan kepentingan negara luar diberi keutamaan mengatasi kepentingan negara sendiri,” katanya.

Disyorkan artikel ini:

Beliau berkata, keadaan itu boleh dilihat berdasarkan beberapa isu termasuklah penyertaan Malaysia yang menyertai sekutu Arab Saudi bersama Amerika, Britain dan Perancis bersekongkol menyerang Yaman, menyertai latihan perang North Thunder, projek Landasan Keretapi Pantai Timur juga merupakan projek mega yang akan diserahkan kepada China dengan pinjaman kewangan yang amat besar dan penjualan tanah sebagai pegangan bebas kepada rakyat China di Johor Baru.

Selain itu katanya, penyerahan infrastruktur pelabuhan strategik negara kepada China juga boleh memberi ancaman kepada keselamatan negara.

“Kalau rakyat Amerika, negara kuasa besar merasa bimbang dominasi oleh Rusia ke atas Presiden Trump dan negara mereka, negara kerdil Malaysia patut lebih bimbang dan lagi banyak berwaspada pengaruh dominasi negara kaya serta ancaman dari kuasa besar negara China-Komunis,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan Tengku Sarifuddin bahawa Mahathir bukanlah boneka yang berbahaya yang perlu diberi perhatian kerana beliau tidak mentadbir negara.

“Tengku Sarifuddin harus sedar bahawa boneka yang mengetuai negara serta berkuasa jauh lebih berbahaya daripada seorang bekas pemimpin yang sudah pun bersara dan berusia 92 tahun,” katanya.  


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!