X

Kindly register in order to view this article
!

Kerabat Diraja Terengganu umum keluar Pas

A
A

KUALA TERENGGANU - Kerabat Diraja Terengganu, Tengku Seri Paduka Raja Tengku Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang sebelum ini menyertai Pas sejak tiga tahun lalu merasakan hala tuju perjuangan parti Islam itu tidak lagi kondusif lantas mengumumkan keluar dari parti itu.    Beliau yang lebih dikenali sebagai Tengku Paduka atau Ku Duka berkata strategi yang dimainkan Pas tidak mencerminkan kematangan ke arah memperkuatkan parti bersama rakan-rakan seangkatan dalam pakatan pembangkang.    "Rakyat dapat melihat bagaimana ahli-ahli profesional Pas dalam Pakatan Rakyat (PR) berhujah begitu lantang dalam Parlimen bagi memperkatakan satu-satu isu. Mereka ini berpengalaman dan memperoleh kelantangan berhujah namun malangnya mereka ini disingkir dalam Muktamar Pas baru-baru ini. Ini amat  mendukacitakan ramai pihak.    "Sebagai seorang Islam benar saya sokong perjuangan ulama dalam Pas tapi dari segi politiknya kita mesti cari jalan bagi kita bekerjasama dan berdamping sesama kita untuk memperkuatkan jentera PR bagi menempuh PRU ke-14 akan datang," katanya pada sidang media di kediamannya di Batu Burok di sini hari ini.    Ditanya sama ada kenyataannya seperti menjurus ke arah senada dengan Harapan Baharu, Tengku Ibrahim yang merupakan bapa saudara kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, berkata peletakan jawatannya tiada kaitan dengan Harapan Baharu namun beliau sedia mempertimbangkan menyertai  gerakan progresif itu.     "Buat masa ini saya mahu berehat mencari tujuan. Saya akan menunggu dan mengikuti perkembangan hala tuju Harapan Baharu kerana ketika ini Harapan Baharu  belum ditubuhkan sebagai parti politik," katanya.    Beliau turut mengakui telah didatangi wakil Harapan Baharu namun menyatakan tiada sebarang keputusan untuk menyertai Harapan Baharu buat masa ini.    Tengku Ibrahim pernah menjadi Pengerusi Perhubungan Parti Melayu Semangat 46 dan menang dalam PRU ke-lapan pada 1990 serta menjadi Adun selama sepenggal.    Setelah Semangat 46 dibubarkan pada Mei 1996, beliau kembali menyertai Umno sebelum mengisytiharkan keluar Umno serta menjadi ahli Pas pada 2012 dan sekali lagi mengisytiharkan berundur dari menjadi ahli Pas hari ini. - Bernama


×

Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!