‘Biar Perhimpunan Agung Umno penentu nasib TSMY’

Muhyiddin Yassin
A
A

SHAH ALAM - Veteran Umno menegaskan bahawa sebarang usaha menyingkir atau menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden Umno adalah satu perbuatan yang  tidak mengikut Perlembagaan Umno.   Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, mengikut Fasal 9.12 Perlembagaan Umno jelas menyatakan: jawatan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi termasuk Presiden dan Timbalan Presiden boleh dilucutkan atau Majlis Tertinggi dibubarkan oleh Perhimpunan Agung Khas dengan undian tidak kurang daripada 2/3 daripada jumlah bilangan ahli yang berhak hadir.   " Justeru itu, sebarang cara selain Perhimpunan Agung Khas untuk menjatuh atau menggugurkan Muhyiddin adalah tidak sah," katanya kepada Sinar Online.   Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Mohd Yunus yang mendakwa terdapat lebih 100 Ketua Bahagian Umno seluruh negara mengadakan perbincangan tertutup bagi menyingkirkan Muhyiddin daripada jawatannya kini.   [ARTIKEL BERKAITAN: Sah wujud gerakan singkir Muhyiddin]   Sementara itu, ketika mengulas dakwaan sebuah laman sosial Johor Bangkit mengenai terdapat 140 bahagian bersetuju menyingkirkan Muhyiddin, Mustapha berharap dakwaan itu tidak benar.   "Veteran Umno berharap dakwaan yang mengatakan 140 Ketua Umno Bahagian menggunakan telegram untuk menjatuhkan dan menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin tidak benar. Veteran yakin semua Ketua Bahagian faham maksud Fasal 9.12 Perlembagaan Umno," katanya.   Dalam pada itu, Mustapha berkata keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya sebarang tindakan yang diambil ke atas Muhyiddin tidak mengikut Perlembagaan Umno.   "Kalaupun mungkin untuk mensabitkan kesalahan Muhyiddin ialah sekiranya beliau melanggar tataetika parti. Sekiranya begitu, maka Jawatankuasa Disiplin Umno mesti bertindak terlebih dahulu dengan memanggil Muhyiddin untuk mendapatkan penjelasan atau menghantar surat tunjuk sebab.   "Jadi, sebarang usaha yang membelakangi peruntukan Perlembagaan Umno dan Tataetika Ahli Umno adalah satu tindakan yang terburu-buru dan boleh memburukkan lagi keadaan.    "Veteran yakin sekiranya usaha itu diteruskan ianya akan menjadikan masalah dalaman Umno  akan lebih parah dan kedudukan Datuk Seri Najib akan lebih tertekan kerana umum akan menuduh pakatan itu mendapat restu beliau," ujarnya.   Tambahnya, Veteran berharap tindakan itu tidak akan diteruskan demi perpaduan Umno.   "Kita tidak mampu untuk berpecah lagi dalam suasana politik yang tidak menentu ini terutama dalam menghadapi PRU14 nanti. Biarlah Perhimpunan Agung Umno akan datang yang menentukan nasib Muhyiddin," katanya


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

×