Pegawai polis ugut dua anggota ketika serbuan kelab malam ditahan

Antara pengunjung pusat hiburan dikompaun kerana melanggar PKPP.
Antara pengunjung pusat hiburan dikompaun kerana melanggar PKPP.
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang pegawai kanan polis ditahan kerana menghina dan cuba mengugut dua anggota kereta peronda polis (MPV) ketika serbuan di sebuah pusat hiburan, di Kelana Jaya hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner, Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pegawai berusia 39 tahun itu disyaki salah seorang pelanggan pusat hiburan itu.

"Dua anggota MPV itu telah menerima maklumat bahawa pusat hiburan itu masih beroperasi pada jam 2.50 pagi dan ketika pemeriksaan, lelaki itu telah memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan yang bertugas di Kontinjen Selangor," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Nik Ezanee berkata, pegawai kanan yang bertugas di salah sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah di Selangor itu telah membuat provokasi dengan cara menghina dan cuba mengugut anggota MPV yang menjalankan tugas.

"Dia kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Peraturan 11 (1) Akta Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020," katanya.

Nik Ezanee turut mengingatkan anggota polis dan agensi penguat kuasa supaya berdisiplin dan tidak mengganggu anggota menjalankan tugas.

"Tindakan disiplin dan undang-undang akan diambil tanpa mengira pangkat dan kedudukan," katanya.

Dalam pada itu Nik Ezanee memaklumkan seramai 227 individu dikompaun kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika serbuan berasingan di tiga buah premis hiburan di Kelana Jaya dan Damansara, awal pagi tadi.

Artikel Berkaitan:

"Seorang lelaki warga asing yang disyaki sebagai penjaga premis dan empat lelaki warga asing turut ditahan," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati premis berkenaan tidak mempunyai lesen perniagaan serta tiada lesen menjual minuman kertas selain mengambil pekerja asing tanpa permit kerja yang sah.

Nik Ezanee berkata, polis turut merampas sebuah komputer riba, sebuah pengadun dan 15 botol arak pelbagai jenama.

"Kita akan terus memantau dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang tidak mematuhi peraturan sepanjang PKPP dilaksanakan," katanya.