Bekalan air di 618 kawasan pulih sepenuhnya

Kenyataan media Air Selangor mengenai perkembangan semasa pemulihan bekalan air di Selangor dan Kuala Lumpur.
Kenyataan media Air Selangor mengenai perkembangan semasa pemulihan bekalan air di Selangor dan Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 618 kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual di tujuh daerah sekitar Lembah Klang pulih setakat jam 12.30 tengah hari tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, sebanyak 674 kawasan lagi masih dalam proses pemulihan.

Menurutnya, secara keseluruhan 47.83 peratus daripada 1,292 kawasan pulih sepenuhnya sementara daerah Hulu Selangor mencapai tahap pemulihan bekalan sebanyak 94.1 peratus, Kuala Selangor (93. 5 peratus), Petaling (57.2 peratus), Gombak (11.3 peratus) dan Klang/Shah Alam (24.2 peratus).

"Bekalan air di Kuala Lumpur pula kini di tahap 41.3 peratus dan daerah Kuala Langat dengan 50 peratus," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, Air Selangor menasihatkan pengguna di kawasan yang telah mendapat bekalan air menggunakan air secara berhemah supaya kawasan yang masih terjejas dapat menerima bekalan mengikut jadual pelan pemulihan Air Selangor.

Elina memberitahu, Air Selangor akan terus memaklumkan status terkini kepada pengguna dari masa ke masa menerusi media massa dan semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang di www.airselangor.com.

Terdahulu, sebanyak 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula jam 10 pagi Khamis lalu susulan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.

Gangguan bekalan air itu berlaku selepas empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihenti bertugas akibat pencemaran itu.

Artikel Berkaitan: