BHPetrol buka cawangan ke-16

Mohd Amar memalu gong sebagai gimik perasmian pembukaan stesen minyak BHPetrol Bandar Baru Tunjong di Lebuhraya Tunjong-Pasir Mas, Kota Bharu di sini semalam.
Mohd Amar memalu gong sebagai gimik perasmian pembukaan stesen minyak BHPetrol Bandar Baru Tunjong di Lebuhraya Tunjong-Pasir Mas, Kota Bharu di sini semalam.
A
A
A

KOTA BHARU - Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd memperkukuhkan lagi rangkaian stesen minyaknya di negeri ini dengan pembukaan BHPetrol Bandar Baru Tunjong yang terletak di Lebuhraya Tunjong-Pasir Mas, Kota Bharu di sini semalam.

Pengerusi BHPetrol, Leftenan Jeneral (B) Datuk Khairuddin Mat Yusoff berkata, ia merupakan projek kerjasama strategik antara syarikatnya dan Akademi Yayasan Islam Kelantan (YIK).

"BHPetrol Bandar Baru Tunjong merupakan rangkaian stesen minyak BHPetrol yang ke-16 di negeri ini.

"Kedudukan yang strategik dan luas memudahkan pengguna untuk singgah mengisi minyak, membeli-belah di kedai serbaneka BHPetromart atau untuk bersolat memandangkan ia dibuka sehingga jam 11 malam.

"Pelanggan juga dapat membuat pembelian tambah nilai Touch 'n Go, kemudahan membayar bil melalui sistem e-pay, selain mengisi minyak infiniti petrol, biodiesel dan juga Euro5 Diesel," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu, perasmian pembukaan stesen minyak dilakukan oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Turut hadir, Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan serta kepimpinan tertinggi pengurusan YIK dan tetamu-tetamu jemputan khas dari BHPetrol.

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata, sebagai sebuah syarikat tempatan Malaysia (GLIC) yang bernaung di bawah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holding Berhad, BHPetrol kini terus aktif untuk mengukuhkan dan memperkembangkan rangkaiannya di seluruh Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, ketika ini terdapat 400 buah stesen minyak BHPetrol beroperasi di seluruh semenanjung Malaysia.

"Pihak kami mengalu-alukan mana-mana pihak dari agensi ataupun orang perseorangan untuk bekerjasama dengan kami dalam rangkaian perniagaan ini bagi meneruskan pembangunan di kawasan-kawasan sasaran.

"Kita juga sediakan bantuan berkaitan jika ada mana-mana pihak bercadang untuk mengembangkan lagi cawangan stesen minyak ini," katanya.

Beliau memberitahu, pihaknya mengenal pasti beberapa lokasi masih tidak dilengkapi kemudahan berkenaan terutamanya di laluan-laluan utama perantau termasuk Gua Musang.

"Malah YIK sendiri juga masih boleh menambah cawangan kedua jika mereka mahu dan kami bersedia memberi kerjasama sebaiknya bagi memastikan manfaat pembukaan stesen tersebut dapat dikecapi penduduk setempat," katanya.

Sempena pembukaan kali ini, stesen berkenaan turut menawarkan hadiah percuma dengan setiap pembelian petrol, biodiesel atau Euro5 diesel berjumlah RM30, RM40 atau RM50 berdasarkan jumlah stok yang masih ada.

Pelanggan juga digalakkan mendaftar menjadi ahli kesetiaan e-Card untuk menikmati pelbagai kemudahan disediakan.