'Langkah tepat kekalkan LTTE dalam senarai pengganas'

Dr Muhammad Faiz Na'aman
Dr Muhammad Faiz Na'aman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) membidas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berpendapat kerajaan tidak perlu menganggap kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sebagai pengganas.

Ahli Lembaganya, Dr Muhammad Faiz Na'aman berkata, pihaknya memuji keputusan Menteri Dalam Negeri pada masa tersebut, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus mengekalkan LTTE dalam senarai pengganas di negara ini walaupun mendapat 'arahan bertentangan' daripada Dr Mahathir yang merupakan Perdana Menteri ke-7 ketika itu.

Menurutnya, langkah itu tepat kerana LTTE berada dalam senarai kumpulan-kumpulan pengganas di Malaysia sejak 12 November 2014 dan ia sewajarnya terus berkekalan sebegitu demi kesejahteraan nasional.

"Hujah Dr Mahathir bahawa Sri Lanka tidak lagi menganggap LTTE sebagai kumpulan pengganas kurang tepat memandangkan negara populasi majoriti Buddha tersebut telah menyenaraikan kembali LTTE sebagai pengganas pada 7 Januari 2009 apabila hampir 7 tahun kumpulan itu dikeluarkan daripada senarai tersebut ketika proses gencatan senjata di Sri Lanka.

"Pendapat Dr Mahathir bahawa LTTE tidak mengancam keselamatan negara juga adalah tidak rasional memandangkan terdapat sekurang-kurangnya 32 buah negara, kebanyakannya bukan negara berpopulasi majoriti Muslim, masih menyenaraikan LTTE sebagai kumpulan pengganas," katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Muhammad Faiz berkata, kumpulan LTTE perlu terus disenaraikan dalam kumpulan pengganas di negara ini kerana ideologi, modus operandi serta sejarah kumpulan itu sendiri yang sarat dengan tindakan kejam tidak berperikemanusiaan.

Menurutnya, LTTE menganggap orang Islam sebagai ancaman kepada identiti etnik Tamil serta 'keselamatan nasional' walaupun pada awalnya LTTE pernah mendapat simpati umat Islam di Sri Lanka.

"Contohnya seperti pembersihan etnik Sinhala Buddha serta Muslim (termasuk Tamil Muslim) di kawasan pernah dikawal oleh kumpulan tersebut di Sri Lanka.

Artikel Berkaitan:

"Ia terjadi dalam Oktober 1987 di wilayah timur Sri Lanka apabila seramai 200 orang awam etnik Sinhala Buddha disembelih manakala seramai 20,000 hilang tempat tinggal kerana lari menyelamatkan diri," katanya.

Muhammad Faiz turut menegaskan kezaliman LTTE melampaui sempadan negara, agama dan etnik sehingga mantan Perdana Menteri India, Rajiv Gandhi dibunuh oleh pengebom berani mati anggota LTTE pada 21 Mei 1991 hingga mengorbankan 14 orang yang lain di Tamil Nadu, India.

Bahkan, beliau menegaskan LTTE telah melanggar banyak elemen-elemen hak asasi manusia hingga ke peringkat melakukan jenayah perang.

Pada minggu lalu, sebuah portal melaporkan surat bertarikh 12 Februari 2020 dipercayai ditulis Dr Mahathir ditujukan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar mengeluarkan LTTE dari senarai kumpulan pengganas.

Dr Mahathir kemudiannya menjelaskan isu penyebaran surat itu, tidak bermaksud beliau menyokong pergerakan itu.

Namun pada 11 Ogos, menjawab pertanyaan Leong Jee Keen (PH-Selayang) di Dewan Rakyat, Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, KDN masih mengklasifikasikan LLTE sebagai pengganas.

Isu LTTE menjadi tumpuan ramai apabila 12 individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diheret ke mahkamah atas tuduhan memberi sokongan dan memiliki item berkaitan kumpulan itu.

Bagaimanapun kesemua yang terlibat dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas pihak pendakwaan tidak berhasrat meneruskan prosiding.