PRN Sabah: Anwar jumpa Shafie bincang agihan kerusi

Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Datuk Seri Anwar Ibrahim.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin utama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) mengadakan pertemuan bagi membincangkan persiapan serta agihan kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, hari ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua perkara itu dibincangkan dalam pertemuan bersama pemimpin mewakili DAP, UPKO dan Parti Amanah Negara (Amanah).

"Tanggungjawab kita (adalah) memilih calon-calon berwibawa dan berintegriti untuk membela nasib rakyat dan sebaik sahaja kita pilih, kita harus bekerja dengan kuat sebagai satu pasukan.

"Saya beritahu kepada pimpinan negeri (sudah) tentu Keadilan (PKR) diberikan ruang yang cukup baik dan saya akan bincang esok pagi (hari ini) dengan Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

"Saya mewakili dan menyampaikan hasrat ketua-ketua cabang yang mewakili akar umbi. Itu sahaja kerja saya. Saya akan menyampaikannya dengan baik supaya kita boleh bekerja dengan baik dan saya akan memberi jaminan dengan kawan-kawan dalam DAP, Warisan, Amanah dan UPKO bahawa calon-calon kita baik.

"Kita juga akan bekerja untuk memenangkan semua calon-calon rakan-rakan yang bersama kita," kata Anwar ketika berucap sempena Pelancaran Jentera Pilihan Raya PKR di sini, malam tadi.

Anwar memaklumkan, pemilihan calon PKR diserahkan kepada Ketua PKR Sabah, Datuk Christina Liew bagi memuktamadkan senarai calon yang bakal bertanding dalam PRN kali ini.

Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu, Barisan Nasional (BN) dipimpin oleh Tan Sri Musa Aman menang 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sementara Warisan pimpinan Shafie, termasuk DAP dan PKR juga mendapat jumlah sama, iaitu 29 kerusi.

Artikel Berkaitan:

Dua kerusi lagi dimenangi Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) pimpinan Datuk Dr Jeffrey G Kitingan, menyebabkan kerajaan negeri pimpinan Musa hanya bertahan beberapa hari sebelum diambil alih oleh Shafie.