PTM pertaruh bakat muda, senior

Muhamad Fuad (kanan) meraih pingat gangsa pada Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina.
Muhamad Fuad (kanan) meraih pingat gangsa pada Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Tinju Malaysia (PTM) mempertaruhkan atlet muda dan senior pada penyertaan di Sukan SEA 2021 di Vietnam, selaras dengan usaha melahirkan juara peringkat Asia Tenggara di bawah umur 25 tahun.

Presiden PTM, Mohd Iruan Zulkefli berkata, keputusan itu dibuat kerana mahu melihat bakat-bakat muda negara meraih pingat emas di Sukan SEA pada masa depan dan tidak hanya bergantung kepada pemain senior semata-mata.

Pada masa sama, beliau berkata, tumpuan tetap diberikan untuk memantapkan enam atlet sedia ada di bawah Program Podium bagi menghadapi saingan di temasya dwi tahunan berkenaan.

"Kami berhasrat untuk menghantar atlet muda di bawah umur 20 tahun ke luar negara untuk dapatkan latihan kerana mahu lahirkan juara Sukan SEA yang bukan lagi dalam kalangan atlet berusia,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pemilihan exco PTM di Kompleks Majlis Sukan Negara Keramat hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Iruan berkata, demi memastikan formula berkenaan berjaya dicapai, PTM telah merangka beberapa program jangka masa panjang membabitkan pencarian bakat baharu dengan kerjasama persatuan negeri.

Tambahnya, PTM juga menyasarkan 40 buah pusat latihan sambilan diwujudkan bagi membantu proses pencarian bakat di peringkat negeri.

"Sekarang pun ada pusat latihan tapi tidak mencukupi. Kami akan bekerjsama dengan persatuan negeri dan juga Majlis Sukan Negara (MSN) untuk bantu lahirkan bakat baharu yang mungkin hasilnya boleh dilihat dalam masa lima hingga 10 tahun lagi," katanya.

Menurutnya, PTM turut bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memastikan sukan tinju diperkenalkan di peringkat sekolah.

Artikel Berkaitan:

“Kami akan mengumpul bekas atlet kebangsaan untuk dijadikan jurulatih sambilan di pusat bakat, termasuk kepada pelajar sekolah,” katanya.

Sebagai rekod, skuad tinju negara berjaya meraih tiga pingat gangsa pada Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina melalui Muhamad Fuad Redzuan dalam acara light flyweight kategori 46-49 kilogram (kg), Mohd Aswan Che Azmi (middleweight 75kg) dan Khir Akyazlan Azmi (light heavyweight 81kg). - Bernama