'Saya reda kehilangannya’

Azlimin menyampaikan penghargaan kepada Che Muda pada Majlis Perbarisan Tahunan JBPM Terengganu di sini, hari ini.
Azlimin menyampaikan penghargaan kepada Che Muda pada Majlis Perbarisan Tahunan JBPM Terengganu di sini, hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - “Saya berjaya selamatkan kanak-kanak lain, tapi tak sangka cucu saya sendiri sudah lemas dibawa arus.”

Demikian cerita Che Muda Che Ahmad, 66, yang kehilangan cucu kesayangannya, Nur Qumaira Qistina Mohd Nizam, 12, dalam kejadian lemas membabitkan sekumpulan empat sahabat di Lagun Gong Batu, Permaisuri, Setiu pada 30 September tahun lalu.

Dalam kejadian itu, dua kanak-kanak terselamat iaitu Ain Najiha Abdul Rani, 12, dan Nur Aishah Syakirah Ishak, 12, manakala dua lagi lemas, iaitu Nur Hafizatul Nabihah Mohd Jaafar,12, dan Nur Qumaira.

Che Muda yang masih bersedih dengan kehilangan cucunya itu bagaimanapun berkata, dia dan ahli keluarga reda dengan ketentuan takdir.

Menceritakan kembali kejadian berkenaan, Che Muda berkata, dia bersama tujuh yang lain sedang bermandi manda di kawasan itu, sebelum mendengar laungan orang meminta tolong.

“Saya nampak 2 kanak-kanak itu tengah terkapai-kapai. Dalam kekalutan, saya beranikan diri untuk menongkah arus bagi mendekati mereka. Saya sempat capai tangan seorang, tapi seorang lagi sedang dibawa arus.

“Nasib baik, ada seorang lelaki berhampiran yang bantu selamatkan. Saya kemudiannya bawa naik salah seorang kanak-kanak itu dan mengocak badannya agar air keluar. Syukur, dia terselamat,” katanya.

Bagaimanapun, dia kemudiannya menyedari Nur Qumaira dan seorang lagi rakannya telah tenggelam dibawa arus.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, keberanian Che Muda menyelamatkan mangsa lemas itu mendapat perhatian Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu yang memberikan penghargaan terhadapnya.

Pengarahnya, Azlimin Mat Noor menyampaikan sendiri sijil penghargaan berkenaan pada Majlis Perbarisan Tahunan JBPM Terengganu di sini, hari ini.

“Saya berterima kasih kepada pihak bomba dan semua penyelamat serta orang awam yang terlibat secara langsung ketika menyelamatkan semua mangsa. Mereka yang telah pergi, itu takdir Ilahi. Kita sebagai orang Islam kena terima dan reda dengan ketentuan-Nya,” katanya.