Ubat, kosmetik tidak berdaftar bernilai RM670,370 dirampas

Produk ubat-ubatan dan kesihatan yang tidak berdaftar dirampas Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya Rabu lalu.
Produk ubat-ubatan dan kesihatan yang tidak berdaftar dirampas Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya Rabu lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya merampas ubat dan produk kesihatan tidak berdaftar serta kosmetik tidak bernotifikasi dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bernilai RM670,370 Rabu lalu.

Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Dr Param Jeeth Singh Pakar Singh berkata, kesemua produk berkenaan dirampas menerusi serbuan di dua buah kediaman dan sebuah premis perniagaan di sekitar Kuala Lumpur.

"Kita melaksanakan satu uji beli produk kesihatan yang disyaki tidak berdaftar itu sebelum serbuan dijalankan di salah sebuah premis kediaman tersebut.

"Salah sebuah premis kediaman yang tidak berpenghuni itu didapati telah dijadikan sebagai stor untuk menyimpan ubat-ubatan dan produk kesihatan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut ke atas semua premis terlibat dijalankan di bawah Akta Jualan Dadah 1952.

"Perbuatan memiliki atau menjual produk yang tidak berdaftar dengan KKM dan mengilang produk kesihatan tanpa kebenaran adalah merupakan kesalahan di bawah Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984," katanya.

Beliau berkata, KKM memberi peringatan agar orang ramai tidak membeli dan mengambil sebarang ubat-ubatan dan produk kesihatan yang tidak berdaftar dengan KKM yang berada di pasaran.

"KKM menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati sewaktu membeli apa-apa produk kesihatan dan kosmetik yang dijual serta memastikan produk berkenaan mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan," katanya

Artikel Berkaitan: