X

Kindly register in order to view this article
!

Ruginya malas mencari ilmu

A
A

HAKIKATNYA, dunia ini tidak akan berubah tanpa perkembangan ilmu. Sesiapa sahaja yang menguasai ilmu, mereka boleh menguasai dunia.

Hebatnya orang berilmu, menjadi sandaran dan model kepada masyarakat. Sesungguhnya ilmu itu luas dan pelbagai. Kita tidak akan dapat menguasai semua ilmu, namun kita dapat menikmati banyak ilmu.

Pun begitu, tidak ramai yang berminat dengan ilmu. Mereka hanya menunggu di hiliran untuk mendapat hasil daripada jerit-perih pemikir yang berada di huluan. Adalah jelas, ilmu tidak akan diperoleh tanpa berusaha untuk berfikir.

Setiap pemikiran akan mencernakan jawapan dan setiap jawapan akan meleraikan kekusutan. Setelah hilangnya kekusutan, dunia yang sempit menjadi luas, hati yang lara menjadi ceria dan pandangan yang cetek menjadi dalam. Itulah kelebihan ilmu.

Sebetulnya, tidak ramai yang mahu mendalami ilmu. Bagi mereka, ilmu dicari untuk meluaskan kekayaan dan mengukuhkan kedudukan. Tidak dinafikan, ramai yang berjaya memanipulasi ilmu untuk kejayaan peribadi sehingga lupa matlamat asal mencari ilmu.

Berkaitan hal ini, Prof Hamka menerusi bukunya Falsafah Hidup telah menulis panjang lebar berkaitan dengan keutamaan ilmu. Menurut beliau, “Ilmu yang dikurniakan oleh ALLAH SWT kepada hambanya hanya sedikit walaupun telah sampai ke mana-mana ilmu manusia.

Sedikitnya ilmu tersebut seumpama beberapa butir mutiara yang diambil dari laut dan menjadi rebutan orang di darat. Sedangkan apa yang tersimpan di dasar laut masih terlalu banyak.”

Tambah beliau lagi, “Ilmu harus lebih dahulu daripada amal, namun iman menjadi dasar kepada ilmu. Ilmu yang dikongkong oleh iman adalah pangkal bahagia. Jika tidak, walaupun sampai ke langit susunan kitab apalah gunanya. Setelah ilmu yang bersemangat iman itu teguh tumbuhnya di dalam dada, hendaklah diiringi dengan amal, kerja dan usaha. Ilmu yang tidak diikuti dengan amal tiadalah gunanya bagi hayat. Ilmu itu harus membekas ke luar diri dan kepada orang lain.”

Sejujurnya, kisah perbualan Umar bin Al-Khattab dengan Talhah bin Ubaidillah cukup menyentuh hati saya mengenai betapa pentingnya nilai ilmu. Suatu hari, Umar bin Al-Khattab berkata kepada Talhah bin Ubaidillah, “Kenapa aku melihat rambut kamu kusut dan berdebu setelah pemergian Rasulullah SAW, mungkin kepimpinan sepupu kamu telah membuat kamu sengsara, wahai Talhah?” Dia menjawab, “Aku berlindung kepada ALLAH SWT, sesungguhnya aku lebih patut daripada kamu untuk tidak berbuat demikian.

Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya aku tahu satu kalimat yang apabila seseorang mengucapkannya ketika sedang menghadapi kematian, pasti akan mendapati rohnya dalam keadaan mudah ketika keluar dari jasadnya dan pada hari kiamat mempunyai cahaya.” Bagaimanapun, aku belum sempat bertanya tentangnya kepada Rasulullah SAW dan baginda belum memberitahu kepada aku. Itulah yang membuat aku seperti ini.” Lalu Umar berkata, “Aku mengetahuinya, maka segala puji hanya milik ALLAH SWT dan tidak lain yang baginda katakan adalah kalimat yang baginda katakan kepada bapa saudaranya iaitu, ‘La Ilaha Illallah’. Talhah berkata, “Kamu benar.” (Hadis Riwayat Ahmad).

Bayangkanlah, hanya dengan satu kalimat yang tidak diketahui olehnya telah menjadikan beliau gusar dan kusut masai, apatah lagi jika banyak perkara yang tidak diketahuinya daripada Rasulullah SAW.

Namun, berbeza dengan kita. Ilmu agama begitu dipinggirkan kerana mementingkan ilmu duniawi yang secara zahirnya lebih menguntungkan berbanding ilmu agama yang dianggap sebagai ritual.

Akhirnya, hendak sembahyangkan jenazah ahli keluarga sendiri pun mula terkial-kial, apatah lagi merangkak-rangkak untuk menghabiskan sebaris ayat al-Quran. Ingatlah, agama Islam mengizinkan kita pentingkan dunia, namun tidak melalaikan urusan akhirat.

Carilah keseimbangan dalam hidup sebelum mati dicerca dunia.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi, Universiti Malaysia Perlis


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!