Osman masih ahli Bersatu selagi tiada surat pemecatan

Suhaizan Kayat
Suhaizan Kayat
A
A
A

JOHOR BAHRU - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kayat masih belum menerima surat rasmi daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkenaan status terkini bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian.

Menurut Suhaizan, sekiranya Bersatu sudah memecat Osman, perlu ada surat penjelasan daripada Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

"Sekiranya kami tidak menerima surat daripada pihak mereka, kami menganggap Osman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas masih lagi sebagai anggota Bersatu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Tindakan Osman yang berkempen menyokong calon Bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Perak baru-baru ini mencetuskan pelbagai spekulasi termasuk beliau menjadi ADUN Bebas kerana berkemungkinan dilucut keahlian dalam parti.

Sekiranya Osman yang juga Ketua Bersatu Bahagian Ayer Hitam menyertai Pakatan Harapan (PH), sidang DUN Johor akan tergantung kerana kerusi dimiliki Perikatan Nasional (PN) dan PH masing-masing berjumlah 28 kerusi.

Perkembangan ini akan menjadikan kerajaan negeri dipimpin Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad yang juga Pengerusi UMNO Johor berada dalam kedudukan yang lemah dan sukar terutama semasa meluluskan sebarang usul di DUN.

Di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895, kerajaan negeri masih dapat menjalankan tugasnya selagi Menteri Besar Johor mendapat sokongan majoriti daripada 56 ADUN itu. Majoriti mudah membentuk kerajaan Johor adalah dengan jumlah 29 kerusi.

DUN Johor memiliki 56 kerusi melibatkan UMNO dan DAP masing-masing 14, Bersatu (12), MIC (2), Pas (1), Amanah (9) dan PKR (4) menjadikan kerajaan PN mempunyai 29 kerusi berbanding PH sebanyak 27 kerusi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Suhaizan yang juga Naib Pengerusi Amanah Johor berkata, dalam Sidang DUN akan datang pada 10 dan 13 September ini, lima usul akan dibentangkan; antaranya pakej rangsangan ekonomi negeri, melantik jawatankuasa dewan dan Senator, bajet tambahan dan rebat cukai tanah.

"Empat daripada usul ini adalah daripada kerajaan negeri dan satu dari pembangkang yang memerlukan undian 56 ADUN tersebut," katanya.

Beliau berkata, tiada yang pelik apabila persidangan DUN diadakan selama dua hari sahaja dalam bulan ini kerana persidangan pada bulan depan akan dijadual diadakan selama seminggu.

Pada persidangan DUN sebelum ini, Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, PH menangguhkan dahulu usul tidak percaya terhadap Menteri Besar Johor kerana masanya tidak sesuai memandangkan sedang berdepan koronavirus (Covid-19).

Menurut Aminolhuda, usul tersebut akan dibentangkan semasa persidangan DUN akan datang dan mendakwa mempunyai jumlah ADUN yang cukup untuk menyokongnya dan tindakan itu dibuat berdasarkan peruntukan yang ada.