Tiada laporan kes sogok wang PRK DUN Slim

Razarudin Husain
Razarudin Husain
A
A
A

BAGAN SERAI - Polis Perak tidak menerima sebarang laporan berlakunya kejadian sogokan wang membabitkan pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, berdasarkan semakan sehingga hari ini, tiada apa-apa laporan berkaitan sogokan mahupun rasuah diterima.

"Buat masa ini memang tidak ada laporan dan saya dimaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pun tidak menerima laporan begitu.

"Jika ada laporan, kita akan siasat atau sekiranya itu adalah unsur rasuah, kita akan mohon kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk masuk (siasat)," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kerian di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad semalam yang mendakwa pengundi PRK DUN Slim dibayar antara RM100 hingga RM150 sebagai sogokan memilih Barisan Nasional (BN).

Razarudin berkata, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat atau mengetahui akan berlakunya kejadian itu boleh tampil membuat laporan di balai-balai polis berhampiran.

Menurutnya, sepanjang berlangsungnya kempen PRK DUN Slim Ogos lalu, polis hanya menerima lima laporan berkaitan kesalahan pilihan raya.

Katanya, daripada jumlah itu, hanya satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan khianat kepada harta benda manakala yang lain dirujuk kepada SPR.

Artikel Berkaitan:

"Kertas siasatan ini adalah melibatkan kejadian gambar calon BN pada papan iklan yang disembur dengan cat," katanya.

Terdahulu, SPRM juga menafikan mengeluarkan kenyataan media mengenai siasatan berhubung pemberian wang sogokan pada PRK terbabit.

Tun M dakwa BN sogok pengundi BERITA SEMASA 3 SEPTEMBER 2020 Pengerusi Parti Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa...

Posted by Sinar Harian on Thursday, September 3, 2020