Lagi anarki polis, perusuh di Amerika Syarikat

Beberapa pegawai polis menangkap Daniel Prude di sebatang jalan raya di Rochester pada Mac lalu. - Foto Facebook
Beberapa pegawai polis menangkap Daniel Prude di sebatang jalan raya di Rochester pada Mac lalu. - Foto Facebook
A
A
A

NEW YORK - Datuk Bandar Rochester, Lovely Warren semalam mengumumkan bahawa pegawai-pegawai polis yang terlibat dalam kematian seorang pemuda kulit hitam, Daniel Prude telah digantung tugas.

Menurut laporan portal berita WROC, tujuh anggota polis itu ialah Mark Vaughn, Troy Taladay, Paul Ricotta, Francisco Santiago, Andrew Specksgoor, Josiah Harris dan Sarjan Michael Magri.

"Saya memahami bahawa pihak kesatuan akan menyaman bandar raya ini kerana (penggantungan) itu, mereka (pihak kesatuan) bebas untuk melakukan apa sahaja. Saya pernah disaman sebelum ini," ujarnya seperti dipetik daripada portal tersebut.

Prude, 41, meninggal dunia pada 30 Mac lalu selepas alat bantuan pernafasannya di sebuah hospital ditarik balik, tujuh hari selepas pegawai-pegawai polis tersebut menangkap lelaki itu yang dalam keadaan tidak berpakaian di sebatang jalan raya.

Kejadian itu berlaku selepas saudara kandung lelakinya didakwa menghubungi talian 911 disebabkan bimbang mengenai kelakuan Prude yang mengalami masalah tekanan mental.

Ketika polis tiba, dia berada dalam keadaan berbogel di sebatang jalan raya.

Anggota-anggota polis itu kemudian menyerkup muka lelaki kulit hitam tersebut yang telah digari bagi mengelak dia meludah sebelum beberapa pegawai polis didakwa memaksanya meniarap dengan muka Prude menghadap ke arah jalan raya selama dua minit sehingga dia tidak dapat bernafas.

Keluarga lelaki tersebut dan beberapa aktivis kemudian mendedahkan video dia ditangkap itu pada Rabu lalu selepas memperolehnya daripada pihak berkuasa menerusi permintaan rasmi selain meminta supaya tindakan undang-undang diambil ke atas beberapa pegawai polis tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang Pendakwa Raya New York, Letita James menyatakan satu siasatan sedang dilakukan berhubung kejadian terbabit. - Agensi