Pusat penempatan banjir akan dibina di Sabah

Mohd Shafie Apdal
Mohd Shafie Apdal
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan negeri akan membina pusat penempatan mangsa banjir yang tetap di beberapa kawasan negeri ini bagi menempatkan penduduk yang terjejas akibat bencana alam itu.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, beliau telah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri (Datuk Hashim Paijan) mengenal pasti tapak yang sesuai untuk membina pusat penempatan tersebut bagi kawasan yang sering dilanda banjir di negeri ini.

Katanya, pewujudan pusat itu juga ada beliau sebutkan ketika kempen Parti Warisan Sabah (Warisan) pada PRU14 lepas.

"Saya tidak mahu setiap kali banjir berlaku, penduduk terjejas dipindahkan di pusat penempatan sementara termasuk di bangunan sekolah.

"Ia boleh menjejaskan struktur bangunan sekolah yang bukan semua diperbuat dari simen tetapi papan," katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan jersi dan Pengenalan Pemain Pasukan Bola Sepak Sabah Musim 2019 di sini, hari ini.

Menurutnya pembinaan pusat itu perlu disebabkan perubahan keadaan cuaca dunia pada masa sekarang yang tidak boleh diramal.

Justeru, katanya, sentiasa perlu ada persediaan untuk menempatkan mangsa banjir di pusat penempatan sementara yang tetap dan dilengkapi dengan kemudahan.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata Jawatankuasa Bencana Alam Negeri telah digerakkan sejak semalam bagi memantau keadaan banjir yang melanda terutama di kawasan daerah Kota Marudu yang terdapat penduduk kampung dipindahkan ke pusat penempatan sementara.

Artikel Berkaitan:

Katanya agensi dibawah jawatankuasa kuasa itu sudah pergi dan memantau situasi banjir di kawasan terjejas.

Menurutnya beliau juga sudah mengarahkan wakil rakyat di kawasan terlibat memantau penduduk yang terjejas disebabkan bencana alam itu khususnya membabitkan aspek keselamatan, perubatan dan bantuan keperluan makanan. - Bernama