X

Kindly register in order to view this article
!

Zahidi mohon maaf dakwa Veveonah tak ambil peperiksaan

Zahidi mengemukakan permohonan maaf kepada pelajar UMS, Veveonah Mosibin melalui hantaran Facebooknya malam tadi.
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin mengemukakan permohonan maaf kepada pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin susulan kenyataan awal terhadap remaja itu sewaktu perbahasan di Dewan Negara hari ini.

Permohonan maaf itu dibuat Zahidi beberapa jam selepas beliau mendakwa remaja dari Pitas, Sabah itu tidak menjalani sebarang peperiksaan ketika video beliau mencari capaian internet di atas pokok untuk menduduki peperiksaan universiti secara dalam talian, tular di media sosial.

Menurutnya, beliau telah menerima maklumat tidak tepat dalam menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Donald Peter Mojuntin.

Zahidi yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Perlis turut berjanji akan membuat pembetulan mengenainya di Dewan Negara, Isnin depan.

"Merujuk perbahasan di Dewan Negara hari ini, saya ingin membetulkan kenyataan mengenai adik Veveonah Mosibin tidak menjalani sebarang peperiksaan ketika video beliau belajar di atas pokok tular di media sosial.

"Saya telah mendapat maklumat yang tidak tepat dalam menjawab soalan tambahan. Saya ingin memohon maaf kepada adik Veveonah Mosibin dan juga akan membuat pembetulan di Dewan Negara Isnin nanti.

"Semoga adik Veveonah Mosibin terus maju jaya dalam setiap bidang yang diceburi," katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Belajar atas pokok untuk naikkan 'viewer' Youtube sendiri

Terdahulu, Zahidi menyifatkan rakaman video Veveonah terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet bagi membolehkannya menduduki peperiksaan secara dalam talian di Pitas, Sabah sebenarnya sekadar dilakukan hanya bertujuan hiburan dan menaikkan 'viewer' rancangan YouTubenya.

Beliau turut mendedahkan hasil siasatan pihaknya mendapati Veveonah yang juga merupakan seorang Youtuber, sebenarnya tidak menduduki peperiksaan ketika video tular itu dirakam.

“Untuk pengetahuan Yang Berhormat, adik (Veveonah) yang tadi tersebut seorang Youtuber dan tidak ada peperiksaan. Kita dah semak dah. Dia hanya Youtuber untuk ambil nama, dia terkenal sekejap dan dia buat hanya untuk hiburan.

“Ini perbuatan yang kadang-kadang kita tertipu dan kadang-kadang kita sebagai Yang Berhormat jangan mudah tertipu dengan Youtuber untuk membuat isu," katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Donald Peter Mojuntin yang bertanyakan tindakan kerajaan bagi memastikan keseimbangan capaian internet antara bandar dan luar bandar serta mengaitkan isu video tular Veveonah dengan perkara itu.

Kenyataan awal Zahidi itu ternyata mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warganet dengan majoriti daripada mereka mengecam beliau.

Zahidi juga bahkan menerima kritikan hebat daripada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyifatkan kenyataan memperlekehkan Veveonah tidak wajar dikeluarkan beliau.

"Ya Allah. Kalau nak bantu selesaikan masalah akses internet, selesaikan. Jangan dilekehkan orang muda dan penduduk luar bandar!

"Ini tidak membantu langsung," katanya menerusi akaun Twitter.

Sementara itu, portal berita tempatan, Malaysiakini melaporkan Veveonah menafikan kenyataan dakwaan Zahidi terhadapnya.

Veveonah berkata, dia juga tidak pernah berjumpa dengan Zahidi atau membincangkan sebarang isu berkenaan masalah jalur lebar di kawasannya dengan timbalan menteri itu.

Mengulas lanjut, Veveonah berkata, video tularnya itu turut mendapat pengesahan UMS dengan beliau turut menyertakan butiran berkenaan jadual peperiksaannya untuk semakan media.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!