Lindungi pemilik, penyewa daripada dizalimi

No Image Caption
A
A
A

LUMRAH bagi setiap individu untuk menyewa bilik atau rumah sebaik sahaja memasuki alam pekerjaan dan memulakan kehidupan tanpa bantuan ibu bapa.

Pada kebiasaannya, golongan yang belum berkahwin akan memilih untuk menyewa bilik kerana harganya lebih murah.

Sebagai contoh, di Shah Alam, Selangor, kadar yang dikenakan adalah sebanyak RM500 untuk sebuah bilik lengkap dengan katil dan almari bagi kediaman di pangsapuri.

Bagi mereka yang sudah berkeluarga pula, kadar sewaan adalah sebanyak RM1,500 dan ia turut dilengkapi dengan perabot.

Bagaimanapun, di Terengganu kadar sewaan bagi sebuah bilik adalah antara RM200 hingga RM250, sementara sewa untuk sebuah rumah pula antara RM700 hingga RM800.

Bagi pemilik rumah, antara faktor paling penting untuk menentukan kadar sewa adalah kedudukan berhampiran dengan pengangkutan dan kemudahan awam.

Selain itu, kadar sewa rumah kediaman turut dipengaruhi pelbagai faktor seperti cukai tanah, cukai pintu, lokasi kediaman sama ada di bandar atau luar bandar.

Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini kadar sewa rumah dikatakan semakin tinggi dan tidak masuk akal yang dikenakan oleh pemilik rumah.

Artikel Berkaitan:

Turut dikenal pasti punca harga rumah sewa mahal ialah penggunaan ejen-ejen hartanah oleh pemilik rumah yang mengenakan bayaran dan caj bagi perkhidmatan mereka.

Sehubungan itu, timbul satu cadangan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mewujudkan Akta Sewaan Kediaman (RTA) yang bertujuan mengawal atur sewaan rumah kediaman.

Antara objektif akta tersebut adalah memberi perlindungan kepada penyewa sekiranya berlaku kenaikan sewa tidak sah serta pengusiran yang tidak munasabah.

Ia bakal mewujudkan satu kerangka perundangan untuk mengawal atur sistem kawalan sewaan kediaman dan mengimbangkan kepentingan kewajipan pemilik kediaman dan penyewa serta menyelesaikan pertikaian antara pihak berkenaan.

Kawalan

Menurut Perunding Hartanah Transasia Property Consultancy, Rais Yeop Johari, sudah tiba masanya untuk ada kawalan terhadap harga sewa rumah.

Jelas beliau, punca utama pemilik rumah meletakkan harga yang tinggi adalah untuk membayar bayaran bulanan dengan pihak bank.

“Nilai pasaran bagi sewa rumah di bandar seperti Petaling Jaya, Shah Alam dan Kuala Lumpur dianggarkan antara RM2,000 hingga RM2,500 bagi kondominium seluas 1,100 atau 1,200 kaki persegi,” katanya.

Bagaimanapun, Rais berkata, tidak semestinya harga yang diletakkan oleh pemilik rumah itu telah pun ditetapkan sebaliknya penyewa perlu berunding bagi mendapatkan kadar harga sewaan yang terbaik.

Selain daripada mengenakan tindakan terhadap pemilik rumah yang didapati mengenakan bayaran tinggi, kerajaan juga perlu melindungi mereka daripada penyewa yang tidak bertanggungjawab.

Ini kerana terdapat banyak kes yang dilaporkan menyebabkan pemilik rumah mengalami kerugian besar. Antara kes yang sering menjadi masalah ialah ada penyewa melarikan diri apabila tidak mampu untuk membayar sewa.

Lebih menyedihkan rumah yang disewakan pula mengalami kerosakan teruk sehingga kos untuk membaiki semula rumah sangat tinggi.

Oleh yang demikian, akta yang bakal dibentangkan tahun depan itu perlu bersifat komprehensif dalam menangani isu kadar sewa yang tidak munasabah.

Selain membantu pemilik rumah, akta itu juga boleh ditambah baik dengan memastikan nasib penyewa rumah turut terbela.

Contohnya, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu kedengaran rungutan daripada penyewa apabila pemilik rumah mengenakan bayaran penuh sedangkan pihak bank telah memberikan moratorium selama enam bulan

Alangkah baik sekiranya, pemilik rumah mempunyai perasaan belas ihsan dengan memberikan sekurang-kurangnya pengurangan sebanyak 50 peratus daripada kadar sewa.

Sehubungan itu, kedua-dua pihak perlu diberikan keadilan sewajar oleh kerajaan apabila akta tersebut dikuatkuasakan nanti.

* Junhairi Alyasa ialah Penolong Pengarang Pengisian Berita Sinar Harian