Lelaki maut terjatuh atas bumbung lif

Mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di atas bumbung lif di Flat Seri Sabah.
Mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di atas bumbung lif di Flat Seri Sabah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki berusia 50 tahun maut akibat terjatuh di atas bumbung lif di Flat Seri Sabah di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, kejadian pada jam 1.15 petang itu disedari oleh penghuni pangsapuri berkenaan selepas terdengar bunyi dentuman di kawasan lif berkenaan.

Menurutnya, penghuni kemudiannya membuat aduan kepada pihak penyelenggara lif.

"Pihak penyelenggara lif yang membuat pemeriksaan menemui seorang lelaki dalam keadaan tertiarap di atas bumbung lif," katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi kejadian.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sebelum kejadian lif berfungsi dengan baik.

"Kita akan mengambil keterangan daripada saksi bagi membantu siasatan.

"Mangsa tinggal di blok berasingan dan kita juga telah memaklumkan kepada keluarga mangsa mengenai kejadian itu," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk bedah siasat.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.